SEIRING perkembangan teknologi, setiap usahawan harus mengambil peluang dalam memastikan perniagaan yang mereka usahakan terus berkembang maju.
Menyedari dunia pendigitalan kini menjadi sebahagian daripada perniagaan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melancarkan platform digital dikenali sebagai MyMall.
MyMall merupakan satu inisiatif kementerian itu bagi memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan yang inklusif.
Platform digital MyMall ini menjamin caj kepada usahawan serta pembeli diselaraskan pada kadar minimum, tanpa adanya sebarang caj tersembunyi.
Ia menggabungkan empat platform e-dagang iaitu ODELA, Pybli, Angsana Virtual Mall dan Warongku.
Melalui penggabungan itu, pengguna yang terdiri daripada usahawan dan pembeli lebih mudah untuk mencapai perkhidmatan e-dagang di bawah kementerian berkenaan.
Penggabungan ini bakal mewujudkan pasaran lebih luas kepada produk usahawan tempatan terlibat serta menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna.
Di samping itu, usahawan informal, mikro, kecil dan sederhana dapat memperluas pasaran perniagaan mereka dengan kos lebih rendah serta menjimatkan kos promosi.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pandemik Covid-19 telah menjejaskan banyak perusahaan, khususnya melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Menurutnya, hal itu juga memaksa usahawan untuk melihat semula model perniagaan mereka dan beralih kepada perniagaan dalam talian atau e-dagang.
“Kesan daripada peralihan itu, didapati industri e-dagang meningkat pada kadar pantas kebelakangan ini.
“Menurut Jabatan Perangkaan, pendapatan e-dagang Malaysia melonjak 23.1 peratus tahun ke tahun kepada RM801.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021,” katanya sewaktu pelancaran platform MyMall di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujarnya, antara penggerak kepada peningkatan itu adalah kelas pertengahan Malaysia yang mempunyai peratusan tertinggi bagi penggunaan digital iaitu sebanyak 88 peratus.
Di samping itu, sejumlah 22 juta pengguna digital ini menghabiskan hampir sembilan jam dalam talian setiap hari dan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan sektor e-dagang negara.
Noh memberitahu, susulan kepada percambahan industri tersebut, wujud pelbagai platform e-dagang di Malaysia mengenakan pelbagai caj termasuk yang tersembunyi, ibarat mengambil kesempatan di dalam kesempitan.
Justeru katanya, kementerian itu menggalas tanggungjawab dan komited dalam memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan inklusif di negara ini dengan mewujudkan satu platform digital bersepadu.
“Untuk makluman, terdapat empat platform e-dagang melibatkan kementerian iaitu ODELA oleh SME Bank, Pybli oleh Pernas serta Angsana Virtual Mall oleh UDA Holdings Berhad.
“Selain itu, kementerian melalui SME Corp. Malaysia turut bekerjasama dengan platform WarongKu yang dimiliki oleh syarikat Idea Creative Technology Sdn. Bhd. (ICTSB).
“Platform baharu ini menggabungkan keempat-empat platform itu seterusnya membantu usahawan informal, mikro, kecil dan sederhana memperluaskan pasaran perniagaan mereka dengan kos lebih rendah,” jelasnya.
Tambahnya, melalui penggabungan tersebut, pengguna terdiri daripada usahawan dan pembeli akan lebih mudah untuk mencapai perkhidmatan-perkhidmatan e-dagang.
Penggabungan ini bakal mewujudkan pasaran yang lebih luas kepada produk-produk usahawan tempatan yang terlibat serta menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna.
Di samping itu, promosi bagi keempat-empat platform ini turut disatukan di bawah satu jenama yang akan menjimatkan kos.
Katanya lagi, pembangunan platform itu akan dilaksanakan secara berperingkat melalui empat fasa.
“Fasa pertama melibatkan integrasi awal untuk keempat-empat platform itu.
“Ia digabung di bawah satu bumbung melalui kaedah Single Sign-On,”ujarnya.
Fasa-fasa berikutnya, menyaksikan platform ini ditambah baik dengan kesemua transaksi termasuk bayaran dan pengemaskinian produk akan dirangkum.
Di samping itu, platform tersebut juga bertindak sebagai pusat maklumat kepada usahawan untuk mendapatkan informasi berhubung pembiayaan, latihan atau pembangunan kapasiti, pemasaran serta pelaksanaan ujian psikometrik keusahawanan.