MELAKA – Sebanyak 79 kes pecah masuk rumah direkodkan di negeri ini sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu dengan 18 daripadanya turut melibatkan kekerasan terhadap penghuni.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 10 peratus berbanding tahun lalu sebanyak 72 kes.
Jelasnya, sebanyak 18 kes yang dilaporkan turut melibatkan kekerasan termasuk mencederakan penghuni, merogol dan samun berkawan.
“Bermula 25 April sehingga 15 Mei lalu, kes pecah rumah direkodkan meningkat sebanyak 79 kes berbanding 72 kes pada musim perayaan Aidilfitri 2021.
“Kita juga merekodkan 18 kes membabitkan jenayah kekerasan pada tahun ini, berbanding 16 kes tahun lalu, namun satu daripadanya adalah jenayah bunuh,” katanya pada Program Keselamatan dan Kesihatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Tambahnya, mengikut pecahan sebanyak 12 kes membabitkan kes mencederakan, samun berkawan tanpa senjata api (tiga, rogol (dua) dan samun tanpa senjata api satu kes.
Katanya, 61 kes yang lain adalah jenayah harta benda termasuk kes curi motosikal (13) dan satu kes curi kereta.
“Mengikut pecahan, kes pecah rumah curi (PRC) adalah sebanyak 33 kes, curi (14), curi motosikal (13) dan curi kereta (satu).
“Pada tahun lalu sebanyak 56 kes direkodkan dengan kes PRC paling tinggi iaitu 21 kes, curi (18) dan curi motosikal 17 kes,” katanya. – KOSMO! ONLINE