fbpx

McDonald’s umum henti operasi di Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki berjalan di hadapan sebuah cawangan McDonald’s yang ditutup di Moscow, kelmarin. - AFP

MOSCOW – McDonald’s mengumumkan untuk keluar dari pasaran Russia, sekali gus menamatkan semua operasi cawangannya di negara itu secara kekal, lapor akhbar Metro UK kelmarin.

Rangkaian restoran makanan segera itu juga akan menjual perniagaannya di Russia kepada bakal pemilik baharu, namun melarang mereka untuk menggunakan nama, jenama atau menu yang sama.

Langkah tersebut akan menjadikan Russia sebagai negara terbesar yang tidak memiliki walau satu pun cawangan McDonald’s selain Nigeria dan Bangladesh.

Ia dalam masa sama menjadikan McDonald’s sebagai beberapa jenama terkemuka global yang menarik diri dari Russia sebagai tanda membantah peperangan di Ukraine.

Sebelum ini, McDonald’s menghentikan operasi cawangan-cawangannya di Russia pada 8 Mac, kurang dua minggu selepas tentera Kremlin menyerang Ukraine. 

Jenama-jenama lain yang turut bertindak demikian adalah Starbucks, KFC dan Pizza Hut, namun mereka berkata bahawa penutupan itu hanyalah untuk tempoh sementara.

“Dedikasi dan kesetiaan para pembekal tempatan terhadap McDonald’s menjadikan keputusan yang dibuat hari ini sebagai sesuatu yang amat sukar dibuat.

“Bagaimanapun, kami mempunyai komitmen terhadap masyarakat dunia dan perlu bertegas dengan nilai-nilai syarikat. Komitmen bagi nilai itu bermaksud McDonald’s tidak dapat terus beroperasi di sini (Russia),” kata Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s, Chris Kempczinski.

Syarikat itu bagaimanapun memberi jaminan pekerjaan terhadap 62,000 kakitangannya di Russia bersama pemilik baharu sebagai sebahagian daripada syarat perjanjian serta berjanji untuk terus membayar gaji kepada mereka sehingga perniagaan bertukar hak milik.

Ia juga mengaku akan kehilangan sebanyak AS$1.2 bilion (RM5.2 bilion) serta-merta kerana menghapuskan pelaburannya di Russia selain terpaksa menanggung kerugian signifikan atas pelupusan aset yang dijual dalam mata wang Ruble. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI