STOCKHOLM, SWEDEN – Pengumuman Finland dan Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak akan memberikan jaminan keselamatan, sebaliknya hanya bakal menjerumuskan kedua-dua negara itu ke dalam konflik peperangan pihak lain, lapor laman berita RT kelmarin.
Pengarah Yayasan Transnasional untuk Keamanan dan Penyelidikan Masa Depan, Dr. Jan Oberg berkata, kedua-dua negara itu telah gagal menjalankan analisis kesan jangka panjang berhubung keputusan besar tersebut.
“Ia adalah satu keputusan yang akan membawa malapetaka,” katanya.
Finland dan Sweden mengumumkan akan memohon keahlian NATO selepas melihatkan situasi semasa peperangan di Ukraine serta menyatakan keyakinan mereka terhadap jaminan keselamatan yang ditawarkan pakatan tentera itu.
“Sejak 1945, NATO telah membuktikan bahawa ia gagal memenuhi apa yang diperlukan oleh pembayar cukai iaitu kestabilan, keamanan dan keselamatan.
“Kini, Finland dan Sweden pula mahu menyertai organisasi yang gagal itu,” tegasnya.
Tambah Oberg, konflik peperangan antara Rusia dan Ukraine adalah berpunca daripada perkembangan NATO.
“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, ‘siapa yang menyebabkan konflik (antara Moscow dan Kiev) berlaku?’
“Semua orang bercakap mengenai pencerobohan oleh Rusia, namun di sebalik konflik tersebut, ia berkaitan dengan perkembangan tentera NATO,” kata penyelidik firma pemikir itu.
Menurut Oberg, beliau dapat memahami kebimbangan Rusia terhadap tindak-tanduk tentera blok itu berhampiran sempadan negaranya.
“Jika saya duduk di tempat Rusia, saya akan merasakan bahawa tindakan tersebut (kebarangkalian bagi keahlian Sweden dan Finland) sebagai satu ancaman.
“Apabila anda mengerahkan tentera ke sempadan kedua-dua negara, anda akan meningkatkan ketegangan dan mempercepatkan tempoh masa bagi tindak belas.
“Ia bukan satu langkah strategik untuk misi keamanan. Keamanan bukanlah matlamat mereka,” ujar beliau.
Tambah Oberg, industri ketenteraan adalah kompleks, namun yang akan mendapat dalam konflik peperangan adalah syarikat penjual senjata.
“Industri senjata akan mendapat manfaat apabila Sweden dan Finland menganggotai NATO.
“Penduduk dua negara itu tidak akan mendapat kebaikan. Ia adalah sesuatu yang baharu buat mereka dan mereka tidak seharusnya campur tangan dalam peperangan negara lain,” jelasnya. – AGENSI