HANOI – Semangat pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi semakin membara apabila bertekad mencari pecutan sempurna ketika memulakan misi acara 100 meter (m) di temasya Sukan SEA Vietnam 2021 hari ini.
Keyakinan itu hadir selepas atlet berusia 18 tahun tersebut membantu kuartet 4x100m negara mengekalkan pingat perak selain turut melakukan kejutan memecah rekod kebangsaan 39.09s dalam acara tersebut di Stadium Nasional My Dinh malam kelmarin.
Berdasarkan catatan semasa, Azeem dilihat mampu memberi cabaran dalam kalangan pelari dari Asia Tenggara sekali gus meletakkannya di landasan tepat bagi mempertahankan emas yang dimenangi Malaysia bagi acara riben biru dalam dua temasya terakhir Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019.
Azeem yang dikenali sebagai ‘Usain Bolt Malaysia’ mengakui misi utama ialah memburu tempat ke final terlebih dahulu.
“Untuk penampilan pertama saya di pentas Sukan SEA ini saya tidak meletakkan sebarang harapan tetapi saya mahu layak ke pentas final terlebih dahulu.
“Apa pun ketika ini, saya dalam prestasi terbaik tetapi ada beberapa kelemahan yang perlu saya perbaiki terutama di pelepasan permulaan. Saya harap segalanya berjalan lancar,” katanya semalam.
Ditanya mengenai pencabar berusia 16 tahun dari Thailand, Puripol Boonson yang memecah rekod baharu kejohanan 20.37 saat (s) dalam acara 200m di Hanoi, Azeem mengakui segala-galanya mampu berubah dalam saingan tersebut.
“Secara jujurnya kita tahu dia seorang pelari yang berbakat dan sangat muda. Walaupun pada asalnya saya rasa paling muda di sini tetapi akhirnya dia muncul.
“Tetapi itu adalah cabaran yang sangat baik bagi saya untuk tidak terus berada dalam kedudukan selesa dan lebih bersemangat untuk lakukan lebih baik.
“Apapun, untuk memenangi acara 100m ini apa-apa boleh berlaku dan sesiapa yang terbaik akan muncul juara,” ujarnya.
Selain Azeem, cabaran negara bagi 100m di Hanoi turut digalas Muhammad Arsyad Md. Saat.