Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal digerakkan sepenuhnya dalam usaha menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, langkah berkenaan dilaksanakan adalah sebagai persediaan awal berikutan pihaknya mendapat maklumat berkaitan wujudnya kemasukan PATI secara besar-besaran daripada negara jiran.
“Kita sedia maklum kes positif COVID-19 di negeri ini terus meningkat terutamanya membabitkan dalam kalangan PATI di pantai timur Sabah.
“Saya juga sudah berhubung dengan Komander ESSCOM untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi menghalang kemasukan PATI ke pantai timur Sabah dan sempadan Sabah di Kalimantan.
“Semua aset di perairan kita turut akan digerakkan semaksima mungkin untuk menjalankan rondaan di sempadan selain menggabungkan kerjasama Op Benteng bersama agensi lain termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Imigresen.
“Kerjasama ini juga untuk meningkatkan kawalan keselamatan khususnya pada musim pilihan raya negeri (PRN) yang bakal tiba,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.
Menurut Hazani, pihaknya mendapat maklumat akan berlakunya kemasukan secara besar-besaran ke Sabah pada musim PRN dari negara jiran bagi tujuan membuat kekacauan.
“Pasukan keselamatan akan berusaha menghalang kemasukan ini bagi memastikan kelancaran PRN selain memastikan ketenteraman Sabah tetap terpelihara.
” Setakat ini, polis dan ATM giat melaksanakan kawalan di 96 pos sempadan laut dan darat di pantai timur serta Kalimantan.
“Kita akan menjalankan rondaan jarak dekat dan jauh bagi mengesan lorong tikus serta lorong gajah (laluan haram) di sepanjang sempadan negara,” katanya. -K! ONLINE