PUTRAJAYA – Rumah belum diduduki tetapi perlu bayar bil air berjumlah ribuan ringgit.
Itulah realiti dihadapi segelintir pemilik rumah membabitkan kawasan-kawasan perumahan baharu yang perlu menanggung bil air pada kadar tidak masuk akal.
Situasi itu menekan seorang pembeli Syima Shafiei, 44, yang terkejut apabila rumah yang baharu dibelinya pada 2019 lalu dipotong bekalan air bahkan meternya turut dicabut oleh operator air negeri.
Katanya, dia yang menetap di Selangor terkejut menerima bil air berjumlah lebih RM1,000 ditanggungnya.
“Mana mungkin tak terkejut. Saya tinggal di sana pun tidak pernah. Kalau ada pun balik sekali-sekala kerana mahu jenguk keadaan kediaman tersebut.
“Saya sudah buat aduan kepada operator air negeri dan mereka memaklumkan bahawa saya perlu membayar terlebih dahulu bil air berkenaan bagi membolehkan meter dipasang semula,” katanya baru-baru ini.
Menurutnya, lebih membuatnya berasa terkilan apabila dia tidak dimaklumkan operator air negeri mengenai tindakan mencabut meter tersebut.
“Biasanya apabila saya menjenguk rumah tersebut, kadar minimum air sahaja yang digunakan bahkan meternya turut ditutup apabila kediaman itu ditinggalkan.
“Sebab itulah saya tak faham macam mana bil air boleh melebihi RM1,000,” ujarnya.
Tinjauan Kosmo! di sebuah laman Facebook kawasan perumahan di Perak mendapati, masalah itu turut membelenggu segelintir pengguna melibatkan sebuah kawasan perumahan baharu.
Menurut hantaran pengguna bernama Shahida Saffieya di laman tersebut, dia menerima bil air bernilai RM687.30 walaupun tidak pernah tinggal di rumah yang dibelinya itu.
“Tak pernah duduk lagi tapi dah kena potong meter sebelum kami terima kunci. Bil banyak sangat macam tak masuk akal penggunaan itu. Kunci pun baharu ambil Januari lepas.
“Kami tak tahu macam mana bil boleh sebanyak itu. Sekarang pihak pemaju tak nak bertanggungjawab hal ini. Kami tak pernah duduk lagi rumah itu dan tak pernah guna air,” katanya.
Menurutnya, dia hanya pernah melawat rumahnya sebanyak tiga kali sejak dibeli memandang mereka tinggal di Selangor.
“Tak pasal-pasal pula nak kena bayar benda yang kita tak pernah guna. Kalau tak bayar, tak pasang meter pula nanti. Banyak pula tu caj kena bayar,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Zieha Fazieha, memberitahu dia dikenakan bil bernilai RM1,500 walaupun tidak tinggal di kawasan perumahan tersebut.
Katanya, pengguna yang bermasalah perlu melaporkan kes berkenaan kepada operator air negeri dan sekiranya masih dalam tempoh waranti, pemaju akan menanggung kerosakan.
“Bagaimanapun, sekiranya ia berpunca daripada tuan rumah sendiri, mereka sendiri akan menanggungnya. Lepas itu, laporkan kepada Lembaga Air Perak (LAP), bincang tentang masalah ini,” katanya.