fbpx

Sindiket edar syabu dalam bentuk krayon tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Soffian (kiri) menunjukkan dadah yang dipek dan dibalut yang kelihatan seperti pensel warna krayon yang dirampas pada sidang akhbar di George Town hari ini. /FOTO IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Taktik sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang membungkus semula dadah jenis syabu dalam bentuk krayon tumpas selepas polis menahan seorang lelaki dalam satu serbuan di tepi jalan di sekitar pusat bandar ini pada Khamis lalu.

Sindiket dadah berkenaan yang aktif sejak pertengahan 2021 dipercayai membungkus semula syabu dengan memotong bahagian bawah krayon itu dan mengisinya dengan dadah syabu seberat tujuh gram bagi setiap satu batang krayon.

Difahamkan, terdapat tiga bungkusan untuk dihantar ke luar negara berisi krayon yang dimasukkan dengan syabu bernilai RM30,000 setiap satu kini ‘tersangkut’ kerana ditahan pihak berkuasa negara berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki tempatan berusia 25 tahun yang merupakan seorang penganggur ditahan kira-kira pukul 11.30 malam dan dia disyaki bertindak mengisi dadah jenis syabu berkenaan di dalam batang-batang krayon itu.

“Sindiket ini membungkus semula dadah syabu di dalam krayon bagi mengaburi mata pihak berkuasa namun pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan ini.

“Mereka akan menghantar dalam bentuk parcel satu kotak yang mengandungi 48 batang krayon kepada penerima di luar negara dan kita percaya terdapat beberapa lagi ahli sindiket ini selain daripada suspek yang ditahan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, menerusi penahanan suspek lelaki itu polis telah membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Lebuh Sungai Pinang di sini dan berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram bernilai RM36,666.

“Selain itu, polis juga merampas dadah jenis ketamin seberat 77 gram bernilai RM11,550 serta peralatan membungkus semula dadah dan sebuah kereta.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh lebih 5,000 penagih dadah dan nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta bernilai RM82,636,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis turut berjaya menumpaskan makmal mini memproses serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dengan rampasan seberat 3.32 kilogram MDMA, ketamin (67.43 gram), syabu (18 gram) dan lain-lain dadah dalam dua serbuan pada 13 dan 14 Mei lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI