PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi negeri Sarawak, Sabah dan Labuan ekoran ramalan cuaca buruk yang dijangka berlaku sehingga pukul 8 malam nanti.
MetMalaysia dalam laporannya di Facebook sebentar tadi berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Sarawak temasuklah Sri Aman, Sarikei (Julau), Sibu, Kapit, Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Beluru dan Marudi) dan Limbang.
Selain itu, di Sabah ia merangkumi sekitar Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, Tawau (Kunak dan Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat serta keseluruhan Labuan petang ini.
Jelas MetMalaysia, amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, kira-kira pukul 2.30 petang semalam, sebanyak 54 buah rumah di lima kampung dalam mukim Tawar dan Kupang di Baling, Kedah dilanda bencana banjir kilat.
Bagaimanapun, terbaharu, Kosmo! melaporkan keadaan di kawasan terlibat kembali pulih apabila air surut sepenuhnya pada pagi tadi. – KOSMO! ONLINE