fbpx

Elektrik terganggu tetapi bil melambung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Ramlah menunjukkan bahan mentah yang disimpan di dalam peti sejuk rosak akibat gangguan bekalan elektrik di Kampung Pulau Sekati, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Kemusnahan jambatan kayu Pulau Sekati di sini akibat banjir hampir tiga bulan lalu bukan sahaja menghilangkan legasi seni bina puluhan tahun malah menjejaskan kehidupan kira-kira 200 penduduknya.

Penduduk mendakwa mereka mengalami gangguan bekalan elektrik dan air sejak hujung Februari lalu berikutan jambatan kayu itu sebelum ini turut me­nempatkan sebahagian kabel elektrik.

Seorang penduduk, Wan Ramlah Wan Sharif, 61, mendakwa, gangguan bekalan elektrik ber­kenaan membuatkan banyak pera­latan elektrik terutama te­levisyen penduduk mengalami kerosakan.

“Mungkin voltan bekalan elek­trik yang disalurkan ke perkampungan ini terganggu selepas banjir kerana lampu sebahagian rumah kami sukar berfungsi dan asyik terkelip-kelip.

“Peti sejuk juga tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan banyak bahan mentah untuk memasak seperti ayam, ikan, daging dan sayur cepat rosak,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Sekati di sini semalam.

Wan Ramlah yang juga pengusaha ketupat palas mendakwa, gangguan bekalan elektrik itu juga menyebabkan proses me­ngukus ketupat palas bertambah kepada 80 minit berbanding 40 minit sebelum ini.

“Senario itu menyukarkan saya untuk menetapi masa bagi memenuhi permintaan pelanggan khususnya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

“Yang peliknya, walaupun kadar bekalan elektrik berkura­ngan, bil bulanan semakin me­ningkat,” dakwanya.

Seorang penduduk lain, Mohd. Sanizam Abd. Rahman, 43, pula mendakwa tekanan air di perkampungannya menjadi rendah selepas kejadian banjir luar biasa pada 28 Februari itu.

“Kami terpaksa kembali meng­gunakan sumber air telaga dise­babkan bekalan air paip terlalu perlahan.

“Begitu pun, timbul kesukaran lain pula kerana penggunaan mesin penyedut air tidak dapat dimaksimumkan ekoran gangguan bekalan elektrik,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Sanizam merayu pihak terlibat agar segera mengatasi masalah ber­kenaan demi kebajikan penduduk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI