Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
KUALA SELANGOR – Seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di kilometer 47 Jalan Klang- Teluk Intan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi, mangsa dikenali Idris Osman yang belum diketahui umurnya itu patah tulang rusuk dan dirawat di Hospital Tanjong Karang (HTK).
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios dalam perjalanan ke Klang dari Teluk Intan, Perak.
Katanya, mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar pembahagi jalan dan memasuki arah bertentangan.
“Akibatnya, tiga lagi buah kereta iaitu jenis Proton Persona, Nissan Sentra dan Honda Jazz turut dilanggar mangsa.
“Mangsa yang patah tulang rusuk itu dihantar ke HTK untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jelas beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE