LONDON – Kekalahan 0-2 kepada Newcastle United awal pagi semalam tidak meletakkan Arsenal di kedudukan tepat untuk merebut satu lagi slot ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan dan hakikat itu turut diakui sendiri oleh Mikel Arteta.
Arteta menjelaskan yang The Gunners tidak berada pada tahap sepatutnya untuk bersaing di pentas Liga Juara-Juara ketika pencabar terdekatnya, Tottenham Hotspur cemerlang dengan menumpaskan Burnley 1-0.
Selepas mengharungi detik buruk yang mengakibatkan kekalahan ke-13 musim ini, Arteta seakan tiada pilihan lain kecuali mengharapkan ihsan daripada pasukan tercorot, Norwich City untuk cuba menewaskan Spurs pada aksi terakhir saingan Liga Perdana Inggeris Ahad ini.
“Kecewa dan ia cukup menyakitkan. Segalanya bergantung kepada diri kami sendiri, namun perlawanan ini menjadi sebaliknya. Masih ada peluang yang agak tipis, namun kami perlu tewaskan Everton dan harap Norwich tewaskan Spurs.
“Newcastle berhak memenangi perlawanan kerana mereka tampil lebih baik berbanding kami. Banyak perkara yang berlaku seperti beberapa perubahan kerana ada pemain cedera, namun itu bukan alasan sebaliknya mereka jauh lebih baik daripada kami.
“Kami cuba melakukan pertukaran dalam beberapa perkara, namun ia tidak menjadikan kami lebih baik,” katanya.
Walaupun beraksi di bawah tahap sebenar pada babak pertama, Arsenal masih lagi mampu menamatkan separuh masa dengan 0-0, namun 10 minit selepas aksi bersambung, Ben White tertampan ke gawang sendiri untuk Newcastle mendahului.
Ketika permainan seakan tiada lagi tambahan jaringan, Bruno Guimaraes yang dilaporkan akan berhijrah ke Emirates, Januari lalu segera menoktahkan perjuangan The Gunners dengan menyumbangkan gol kedua tuan rumah.
Tottenham yang kini berada di tempat keempat meraih 68 mata, berkelebihan dua mata berbanding Arsenal di tangga kelima. – AGENSI