ARAU – Kemajuan dalam sesebuah negara tidak dapat dicapai sekiranya amalan rasuah berleluasa dalam kehidupan seharian masyarakat.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, rasuah dan salahguna kuasa akan memberi kesan langsung kepada pembangunan sesebuah negara.
Titah baginda, meskipun negara dikurniakan dengan kekayaan sumber asli yang melimpah ruah, namun kekayaan negara tidak dapat diagih atau diuruskan dengan sempurna apabila rasuah dan salah guna kuasa menjadi satu budaya.
“Perbuatan seperti meminta, menawar, memberi dan menerima rasuah adalah salah di sisi agama dan undang-undang negara. Jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial dan seterusnya boleh mengancam kesejahteraan negara.
“Justeru itu, beta berharap pihak berwajib memberi perhatian serius kepada masalah ini. Semua pihak termasuklah setiap individu, masyarakat setempat, agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan turut digesa untuk aktif memainkan peranan masing-masing bagi mengatasi masalah rasuah,” titahnya.
Baginda berkata demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan yang ke-79 Raja Perlis di Balai Menghadap Istana Arau di sini hari ini.
Titah Tuanku Syed Sirajuddin lagi, rakyat juga perlu tampil berani melaporkan sebarang kegiatan salah laku kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan lanjut boleh dilakukan. – KOSMO! ONLINE