PETALING JAYA – Tiada angin, tiada ribut, pasangan pelakon berpengalaman, Ellie Suriaty dan Azri Iskandar sah bercerai dalam satu prosiding Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur (Keramat), Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut satu laporan, Ellie atau nama sebenarnya, Ellie Suriaty Omar telah melaporkan permohonan cerai ke atas suaminya, Azri, 54, sebelum Ramadan lalu.
Kata Ellie, perceraian berlaku kerana tiada lagi keserasian antara mereka selepas hampir 20 tahun melayari bahtera perkahwinan bersama.
“Ini adalah suatu keputusan yang sukar untuk saya buat. Tetapi, saya sudah memikirkannya masak-masak dan akhirnya, ia perlu dilakukan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Azri untuk segala saat-saat indah, kenangan manis serta pengalaman hidup yang kami lalui bersama sebagai suami isteri,” ujarnya.
Ellie dan Azri berkahwin pada 2003 dah hasil perkongsian hidup hampir dua dekad, pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata, Azrell Omar Azri Iskandar, 18 dan Nur Azreen, 13.
Anak keduanya, Nur Aliah Omar Iskandar meninggal dunia selepas 15 minit dilahirkan, manakala anak keempatnya, Ahmad Muhammad Iskandar meninggal dunia dalam kandungan berusia lima bulan ketika penggambaran filem Penanggal. – KOSMO! ONLINE