MOTIF flora atau bunga-bungaan sama ada besar atau kecil sering menjadi pilihan pereka fesyen dalam menghasilkan busana hari raya kerana sifatnya yang versatil dan klasik.
Motif bunga pada reka corak baju kurung menjadikan si pemakai tampil anggun dan ayu saat meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Jenama tempatan yang cukup terkenal dengan rekaan baju kurung berbunga dengan rona-rona ceria, Lubna tahun ini tampil dengan seleksi busana Aidilfitri yang cukup menarik.
Sebanyak 200 barisan rekaan untuk koleksi Raya 22 ditampilkan jenama itu termasuk Lubna Homme yang merupakan koleksi busana untuk lelaki dan juga Lubna Kids iaitu pakaian untuk kanak-kanak.
Menurut Nabilla Saif Annuar yang merupakan pereka baharu bagi jenama itu, koleksi hari raya Lubna tahun ini menampilkan seleksi pakaian bermotif floral daripada rona-rona terang.
Rona-rona seperti hijau terang, jingga dan merah jambu fushia mendominasi koleksi ini, memberikan banyak pilihan gaya kepada si gadis yang berani.
Gabungan beberapa warna terang dalam satu busana pula menyerlahkan lagi elemen ceria pada koleksi kali ini yang mencerminkan estetika jenama Lubna.
“Lubna sentiasa bereksperimentasi dengan rekaan yang bersifat manis dan quirky.
“Bagi koleksi kali ini, signatur jenama Lubna menekankan ekspresi motif flora atau bunga-bungaan dengan gabungan pelbagai rona terang bagi menyerlahkan sisi muda dan riang pada si pemakai,” ujarnya.
Bagi meraikan tahun 2022, Lubna meneroka gaya feminin chic berperincikan corak flora dan rona ceria yang menyinarkan aura gaya muda.
Jenama itu juga menginfusi aura trend gadis millenial dan anggun pada siluet kewanitaan agar si pemakai tampak cheeky dan segar.
Potongan pakaian juga dipelbagaikan menerusi koleksi kaftan dengan kain pareo dan kurung moden dengan potongan peplum.
Perincian renda pada bahagian bahu untuk sebahagian koleksi juga turut mencipta kelainan pada potongan pakaian, sekali gus menyerlahkan seri pemakai di hari raya.
“Bagi koleksi kali ini juga, kami mengekspresikan keceriaan pada rona terang dengan potongan baju menarik seperti butang besar, corak penuh warna-warni serta perincian lengan kembang,” kata Nabilla.
Selain potongan menarik, jenama itu juga cukup terkenal sebagai sebuah jenama yang tidak pernah menenepikan golongan bertubuh berisi atau plus size apabila menampilkan busana menarik buat golongan itu.
“Sebagai sebuah jenama tempatan, kami tidak mengenepikan golongan wanita berisi yang mahu bergaya lantas meraikan mereka dengan rekaan quirky yang boleh digayakan pada Hari Raya Aidilifitri,” ujarnya.
Tambah pereka berusia 26 tahun itu lagi, tarikan lain pada jenama itu terletak pada harganya yang kompetitif.
Nabilla juga mengakui bahawa mengekalkan julat harga berpatutan mengikut kesesuaian kain dan rekaan adalah agak mencabar namun Lubna sentiasa berdiri teguh dengan keunikannya dengan menampilkan barisan rekaan dengan karakter yang unik dan menarik.
Koleksi Hari Raya Aidilfitri Lubna boleh berharga antara RM95 sehingga RM335 dan boleh dibeli menerusi laman web www.zalora.com.my.