LONDON – Pep Guardiola enggan menuding jari kepada Riyad Mahrez selepas kegagalan pemain itu menyempurnakan penalti yang mengakibatkan Manchester City hilang dua mata diikat 2-2 oleh West Ham United di Stadium London kelmarin.
Keputusan itu menyaksikan perebutan kejuaraan kini kembali terbuka buat Liverpool, namun Guardiola segera tampil menghilangkan keresahan dengan mendakwa Southampton mampu menewaskan juara Piala FA itu pada aksi awal pagi esok sekaligus mampu mengesahkan kejuaraan buat City.
Di sebalik kegagalan itu, pengurus dari Sepanyol itu menegaskan bintang dari Algeria itu akan kekal sebagai pengambil sepakan penalti buat City, malah yakin lebih banyak jaringan mampu dijaringkan oleh Mahrez.
“Musim ini Riyad mengharungi detik yang luar biasa. Kami menjaringkan banyak gol menerusi penalti. Walaupun gagal, dia (Mahrez) mengambil tanggungjawab itu dan dia pasti akan mampu menyempurnakannya lagi pada aksi selepas ini.
“Saya katakan kepada pemain supaya jangan bersedih kerana kami sudah pun memberikan aksi terbaik. Sekarang kami tidak perlu lihat kepada perkara lain sebaliknya hanya berikan apa yang kami ada pada aksi terakhir di gelanggang sendiri.
“Saya boleh katakan 4-0,” katanya merujuk kepada jangkaannya untuk melihat kemenangan Southampton ke atas Liverpool di Stadium St. Mary.
Ketika ini, The Citizens mengumpul 90 mata dan jika kemenangan akan kekal berpihak kepada Liverpool pada aksi dengan Southampton, The Reds akan kembali merapatkan jurang kepada satu mata untuk memaksa juara hanya akan ditentukan pada aksi terakhir yang berlangsung Ahad ini.
“Kami pamer kebangkitan luar biasa ketika menentang pasukan yang bertahan dengan cukup baik. Kami bermain dengan baik dan kini satu lagi perlawanan perlu diharungi di gelanggang sendiri menentang Aston Villa,” jelasnya. – AGENSI