fbpx

Masalah air: Pandu 3km guna tandas stesen minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jaafar (kiri) dan Azmi menunjukkan tong air untuk menyimpan air di rumahnya di Taman Camar Putih, Bandar Baharu semalam.

BANDAR BAHARU – Tiada apa yang dapat dilakukan oleh kira-kira 1,500 penduduk di Taman Camar Putih, Taman Cempaka dan pekan Selama di sini selain daripada terus bersabar gara-gara masalah bekalan air di kawasan itu yang masih tidak dapat diselesaikan sejak 10 tahun lalu.

Lebih memeritkan apabila masalah tersebut menjadi semakin serius sejak tahun lalu apabila berlaku gangguan bekalan air hampir setiap hari.

Menurut penduduk, gangguan bekalan air akan berlaku dalam tempoh beberapa jam dan pernah berlaku sehingga dua hari.

Penduduk Taman Camar Putih, Jaafar Darus, 50, berkata, bekalan air di rumahnya sering terputus sejak kebelakangan ini terutama ketika umat Islam me­raikan Aidilfitri baru-baru ini.

Katanya, bekalan terputus pada waktu pagi dan berlarutan sehingga beberapa jam pada hari raya kedua sehingga menjejaskan aktiviti harian keluarga.

“Apa yang mengecewakan adalah tiada notis dikeluarkan oleh pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk memaklumkan kepada penduduk.

“Saya terpaksa menggunakan air dari tong simpanan sedia ada dan membeli sedozen air mineral untuk digunakan sekiranya bekalan air terputus. Stok yang ada mampu bertahan selama dua hari,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Che Gayah Alang, 44, yang berniaga kuih berkata, masalah air di kawasan itu berlaku sejak lebih 10 tahun lalu dan menjadi serius sejak tahun lalu.

“Kadangkala saya terpaksa menolak tempahan kuih daripada orang ramai jika tiada bekalan air yang cukup.

“Kami biasanya menyimpan air yang banyak untuk kegunaan ketika masalah bekalan air berlaku. Biasanya, gangguan kerap berlaku pada tengah malam, awal pagi dan petang,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Rukun Tetangga (KRT) Taman Camar Putih, Azmi Mat Desa berkata, penduduk yang mahu membuat kenduri juga biasanya menggunakan pinggan mangkuk pakai buang untuk memudahkan urusan.

“Bagi penduduk yang tidak sempat menyimpan air, mereka terpaksa memandu ke sebuah stesen minyak sejauh 3 kilometer untuk ke tandas serta mencuci pakaian di dobi,” jelasnya.

Katanya, setiap kali berlaku masalah bekalan air terputus, penduduk akan membuat aduan kepada SADA dan alasan diberikan ialah masalah kerosakan dan kebocoran paip utama.

“Namun, apa yang menghairankan penduduk di sini ialah bil air setiap bulan yang diterima adalah lebih daripada RM20, sedangkan dalam masa sebulan hampir 15 kali bekalan air terputus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI