PETALING JAYA – Sambutan hari jadi yang dianjurkan pelakon sensasi Zarina Anjoulie membuatkan netizen berasa lucu apabila pelakon itu meraikan ulang tahun kelahiran kucing kesayangannya yang diberi nama Chong Ki.
Sambil menyanyikan lagu hari jadi versi kucing ‘meow-meow’, sambutan majlis ulang tahun kelahiran kucing berwarna kelabu itu turut dilengkapi dengan sebiji kek coklat beserta tiga batang lilin.
Ketika Zarina bersama ibu dan anaknya menyanyikan lagu hari jadi, kelihatan Chong Ki duduk di atas kerusi dengan tertib sambil memandang kek yang diletakkan di atas meja.
“Selamat hari jadi Chong Ki. Tiup lilin!” kata Zarina atau mesra disapa Anju selepas menyanyikan lagu hari jadi bersama ibu serta anaknya.
Dalam ruangan komen, aktiviti yang dilakukan Zarina dan keluarganya meraikan hari jadi kucing kesayangannya itu mengundang rasa lucu serta geli hati pengikutnya dalam Instagram apabila rata-rata terhibur melihat gelagat haiwan tersebut.
“Comelnya kucing. Sangat tertib. Selamat hari jadi Chong Ki!” ucap seorang peminat.
“Chong Ki macam faham tengah sambut hari jadi. Kesian terbakar misai,” ujar seorang lagi netizen.
“Lagu hari jadi paling comel yang pernah aku dengar,” komen seorang pengguna Instagram. – KOSMO! ONLINE