WASHINGTON – Perbicaraan berprofil tinggi melibatkan pelakon Johnny Depp dan bekas isterinya, Amber Heard telah menjadi topik gurauan meluas di kebanyakan platform media sosial, lapor stesen penyiaran ABC, semalam.
Gurauan atau ‘meme’ berkaitan isu-isu keganasan rumah tangga yang didedahkan oleh pasangan Hollywood ini seolah-olah menggambarkan perbuatan itu seperti tidak begitu serius.
Seorang mangsa yang terselamat daripada kes penderaan rumah tangga, Ruth M. Glenn berkata, membaca kes fitnah Heard-Depp telah mencetuskan trauma lama yang pernah dirasainya.
Kewujudan ‘meme’ dan jenaka yang tidak dapat dielakkan di media sosial seperti TikTok atau Twitter yang berpunca daripada perbicaraan telah memburukkan lagi trauma bekas mangsa dera ke satu tahap berbeza.
Tanda pagar seperti “AmberHeardIsAPsycho” atau “AmberHeardIsALiar” telah memperoleh berbilion-bilion tontonan di TikTok dan Twitter.
Malah, sekiranya mencari kandungan yang kelihatan seperti pro-Heard, tanda pagar seperti “IBelieveAmberHeard,” biasanya memaparkan video dan siaran yang memfitnah Depp menerusi klip-klip mahkamah yang ditularkan.
“Situasi ini akan membuatkan golongan yang benar-benar terdesak dan berdepan dengan situasi penderaan domestik takut untuk ke hadapan kerana bimbang ditertawakan.
“Sama ada mereka ialah Amber Heard atau Johnny Depp, betapa beraninya kita mempersendakan dan memperlekehkan seseorang yang berkongsi sesuatu yang sangat peribadi, tidak kira apa pendapat peribadi kita mengenai mereka,” kata Glenn.
Seorang lagi bekas mangsa keganasan rumah tangga, Twahna P. Harris berkata, siaran pelbagai maklumat mengenai Heard-Depp membuatkan media sosial menjadi lebih toksik.
“Bagi saya, ia membawa saya kembali ke suatu masa di mana saya ketakutan, terluka dan sangat lemah,” kata Harris, yang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, The Butterfly Society. – Agensi