SHAH ALAM– Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk ibadah korban tahun ini akan diteliti selaras dengan negara yang telah memasuki fasa peralihan endemik dalam pengurusan Covid-19 sejak 1 April lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, SOP tersebut akan diumumkan selepas perbincangan dengan semua pihak dalam waktu terdekat ini.
“Buat masa ini saya belum berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mewujudkan SOP baharu selaras peralihan endemik berkenaan.
“Kita akan perhalusi SOP baharu selaras dengan kaedah, adab dan tertib pelaksanaan ibadah korban yang ditetapkan agama Islam,” katanya ketika ditemui pada program Majlis Aidilfitri dan rapat mega #KITASEMUAKEADILAN di Dewan Tulip Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Bukit Naga, Seksyen 32 hari ini.
Ketika mengulas mengenai pendedahan akhbar berhubung status halal rumah penyembelihan haiwan di Australia, Mohd. Zawawi menegaskan, pihaknya bersedia menyiasat sekiranya menerima laporan berkaitan.
“Setakat ini tiada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu mengadu tentang perkara tersebut.
“Apa pun, kita akan berbincang dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk kita memastikan ibadah korban akan dijalankan selaras tuntutan agama Islam,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE