LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel mengakui bahawa pasukannya perlu belajar untuk menjadi sebuah pasukan yang konsisten setiap kali turun berdepan aksi final.
Awal pagi semalam menyaksikan Chelsea tewas pada aksi final Piala FA dalam penentuan sepakan penalti ketika menentang Liverpool sekali gus kegagalan kali kedua berturut-turut selepas tumbang dalam saingan Piala Liga Inggeris sebelum ini berdepan lawan yang sama.
Kehadiran Tuchel menggantikan Frank Lampard sebelum ini menyaksikan Chelsea berjaya mencipta kejutan dengan menjuarai saingan Liga Juara-Juara musim lalu, namun musim ini mereka sedikit berdepan kesulitan ekoran masalah prestasi.
Kekalahan ini juga menyaksikan hasrat Chelsea untuk menebus kegagalan musim lalu tidak kesampaian apabila mereka turut berdepan kekalahan aksi final Piala FA menentang Leicester City.
“Kami mampu untuk memberikan aksi terbaik dan memiliki kemampuan untuk membentuk mentaliti para pemain bagi mencapai sasaran tersebut.
“Namun, sejak beberapa tahun lalu, Manchester City dan Liverpool membuktikan bahawa kami perlu memiliki tahap konsistensi yang tinggi untuk menyaingi mereka. Kami sebenarnya berdepan masalah tersebut ketika ini,” jelasnya.
Tuchel mengakui bahawa pasukannya berdepan kesulitan pada 15 minit pertama aksi untuk menyaingi Liverpool termasuk bernasib baik apabila beberapa percubaan dilakukan The Reds tidak menemui sasaran.
Dalam pada itu, Tuchel mengakui situasi sukar yang dihadapi Chelsea ketika ini bermula selepas pemilik mereka, Roman Abramovich dikenakan penggantungan menyebabkan kelab itu berdepan beberapa masalah. – AGENSI