fbpx

Liverpool terus pamer dominasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIVERPOOL merangkul gelaran kedua musim ini apabila muncul juara Piala FA menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi semalam. – AFP

LONDON – Liverpool terus menghidupkan peluang untuk mencipta sejarah meraih gelaran quadruple selepas merangkul trofi kedua apabila muncul juara Piala FA dengan menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti.

Perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam tempoh 120 minit permainan sebelum Kostas Tsimikas muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti kemenangan The Reds.

Kejayaan itu juga menyaksikan Jurgen Klopp menjadi Pengurus Liverpool pertama yang berjaya merangkul trofi Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris, Piala
FA dan Piala Liga Inggeris sepanjang kariernya bersama pasukan itu.

Bercakap mengenai kemampuan pasukannya untuk memenangi empat gelaran musim ini, Klopp mengakui semua pemainnya masih belum berputus harap dan mengharapkan sesuatu yang lebih baik.

“Para pemain tahu apa yang saya fikirkan. Ia suatu yang menakjubkan apabila kami
mampu bercakap mengenai quadruple, tetapi kami perlu mengharungi aksi yang lebih hebat selepas ini.

“Ia masih lagi satu misi yang jelas jika semua inginkannya tetapi mungkin juga mustahil apabila melihat keadaan semasa ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, Klopp meng­akui beliau telah membuat kesilapan sehingga hampir menyebabkan Liverpool terlepas kejuaraan tersebut apabila
mengarahkan Sadio Mane meng­ubah gaya sepakan menyebabkan pemain itu gagal menyem­purnakan sepakan penalti berkenaan.

“Saya memikul 50 peratus tanggungjawab kegagalan Sadio. Saya memberitahu Sadio bahawa penjaga gol mereka sudah me­ngetahui cara sepakannya, jadi saya minta dia mengubah sedikit cara sepakannya. Mungkin saya lebih baik diam.

“Bagaimanapun, kami masih mengharungi satu perlawanan yang hebat. Kami bekerjasama dengan syarikat neurosains (neruo11) yang berjaya membantu kami menguatkan mental ketika menghadapi situasi penalti,” katanya.

Bagaimanapun, perlawanan itu menghadirkan resah buat Liverpool apabila dua tonggak utama, Mohamed Salah dan Virgil Van Dijk terpaksa dikeluarkan ekoran berdepan masalah kece­deraan.

“Kami terpaksa membawa Mo keluar lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga. Dia memberitahu ada merasai kesakitan tetapi masih mampu meneruskan perlawanan, namun saya tidak mahu mengambil risiko.

“Saya sudah bercakap dengan kedua-dua mereka dan semua­nya masih dalam keadaan baik. Ia bukanlah perkara besar, tetapi kami perlu berdepan satu lagi aksi pertengahan minggu depan. Saya harap mereka berada dalam keadaan baik,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI