LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta tidak dapat menyembunyikan rasa marah dengan situasi dihadapinya dan masih lagi dibayangi kenyataan pedas oleh rakan sejawatnya di Tottenham Hotspur, Antonio Conte.
Pertemuan menentang Newcastle United awal pagi esok menjadi pentas terbaik buat Arteta untuk membuktikan kepada Conte dan mahu memastikan The Gunners mampu menamatkan musim ini di kedudukan lebih baik berbanding Spurs.
“Ya saya benar-benar fokus untuk mengalahkan Newcastle,” kata Arteta ketika ditanya mengenai dakwaan Conte dengan melabelnya sebagai pengurus yang sering mengeluh.
Conte membuat kenyataan itu selepas memimpin Spurs meraih kemenangan 3-0 ke atas Arsenal, awal pagi Jumaat lalu dan turut meminta Arteta supaya segera ‘tutup mulut’ agar mampu kekal fokus terhadap pasukan, bukannya merungut dengan apa yang berlaku.
Ketika perhitungan derbi London tempoh hari, Arteta nyata kurang gembira dengan keputusan pengadil selepas turut menyaksikan pemainnya, Rob Holding dilayangkan kad merah hingga memaksa Arsenal mengharungi tempoh lebih 50 minit dengan 10 pemain.
“Seperti yang saya katakan selepas perlawanan itu, saya sentiasa melihat ke depan. Kami kecewa kerana kalah, namun sekarang kami masih mempunyai perlawanan menentang Newcastle.
“Jadi, kami sudah pun beri sepenuh perhatian untuk menghadapi perlawanan ini dan mahu mencari kemenangan untuk memastikan Arsenal menamatkan saingan lebih tinggi berbanding Spurs,” jelasnya. – AGENSI