PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan seramai 16 nelayan warga Vietnam di dalam sebuah bot pukat tunda selepas didapati menangkap ikan secara haram kira-kira 83.3 kilometer dari Kuala Tok Bali di sini kelmarin.
Kesemua nelayan asing termasuk seorang tekong berusia 19 hingga 55 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, anggota APMM melihat sebuah bot berada dalam keadaan mencurigakan di perairan negara kira-kira pukul 9 malam.
Menurutnya, bot berkenaan bertindak memecut laju dengan melakukan lencongan dan pergerakan berbahaya namun, berjaya dihadang bot APMM
“Selepas 30 minit mengekori bot itu, mereka akhirnya berjaya ditahan selepas akur dengan arahan APMM.
“Tekong bot itu gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, 15 orang nelayan bot itu juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, APMM telah merampas bot, alat menangkap ikan, peralatan navigasi, alat komunikasi, hasil tangkapan pelbagai jenis ikan sebanyak dua tan dan baja kira-kira satu tan dengan anggaran nilai keseluruhan RM1.55 juta. – KOSMO! ONLINE