Colombia. Mereka lahir pada tahun 1970-an dan 1980-an tahu tentang negara Amerika Selatan ini dan pergolakan dalamannya.
Agensi berita AFP menganggarkan perang antara kerajaan dan gerila berhaluan kiri seperti FARC di Colombia meragut lebih 260,000 nyawa dalam tempoh enam dekad.
Secara purata, korban mengerikan dalam konflik di negara yang terkenal sebagai antara ‘pengeksport dadah’ terbesar dunia itu adalah sekitar 4,300 orang setahun.
Mungkin ramai berkata, apa kaitannya dengan Malaysia, tiada yang pelik tentangnya. Bahkan, saban masa pun, ratusan malah ribuan hilang nyawa akibat konflik di seluruh dunia.
Ini tidak berlaku di Malaysia. Kita bersyukur kerana di bumi ini, rakyatnya hidup aman damai tanpa berbunuh sesama sendiri.
Tiada korban atau kematian menyayat hati di sini dan tiada yang mati berkecai dek letupan bom atau tubuh ditembusi berdas-das peluru. Ya, sememangnya Malaysia bumi bertuah kerana keamanan yang dikecapi.
Namun, apa gunanya nikmat keamanan kerana setiap tahun ada sahaja korban mengerikan di negara ini dan medan perangnya ialah jalan raya.
Berdasarkan statistik pihak berkuasa, bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia mencatatkan angka tertinggi untuk tempoh sembilan tahun pada 2016.
Tahun itu mencatatkan 7,152 kematian, manakala 2018 menyaksikan sebanyak 6,284 nyawa melayang.
Nyata dan jelas bahawa korban kemalangan jalan raya di Malaysia lebih tinggi daripada angka kematian akibat perang angkara dadah di Amerika Selatan.
Terkilan! kerana ribuan korban ini dapat dielakkan. Apa yang pasti banyak nahas jalan raya adalah berpunca daripada kecuaian, kelalaian dan sikap pengguna sendiri.
Sudah banyak kempen kesedaran dilaksanakan, namun situasi tidak jauh berubah.
Ada yang mendesak agar undang-undang jalan raya dan penguatkuasaan diperketatkan, namun sampai sekarang desakan itu tidak ke mana.
Harus diingat, kita hidup dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem pilihan raya, bukan di Korea Utara di mana pemerintah boleh menguatkuasakan apa sahaja undang-undang dan menghukum sesiapa yang melanggarnya. Kesedaran pengguna jalan raya juga ‘ke laut’.
Apa yang hakiki adalah jalan raya di negara ini ibarat medan perang yang saban hari dan setiap tahun, meragut beribu-ribu nyawa penggunanya.
Tahun demi tahun, situasi jarang berubah, malah menjadi semakin buruk terutamanya menjelang musim cuti perayaan.
Operasi keselamatan jalan raya yang diadakan oleh pihak berkuasa hanya mampu mengurangkan angka kematian tetapi bukan sikap dan adab di jalan raya.
Mungkin juga rakyat Malaysia sudah ‘reda’ dengan keadaan yang berlaku dan menerima seadanya bahawa jalan raya kita adalah marabahaya.