KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas telah meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.
Usul tersebut diluluskan sebulat suara oleh 2,586 perwakilan UMNO dari 192 bahagian seluruh negara yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Dengan kelulusan tersebut, MKT UMNO akan diberi dua pilihan di bawah fasal 10.16 Perlembagaan UMNO sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.
Terdahulu, draf pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO itu dibentangkan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan UMNO.
Usul pindaan itu antara lain menggesa pindaan perlembagaan parti berhubung fasal pemilihan dilakukan dalam waktu yang sesuai dengan memaktubkan pemilihan parti hendaklah diadakan dalam tempoh enam bulan selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) persekutuan dilaksanakan.
“Ini bagi memastikan seluruh kekuatan parti dapat digemblengkan bagi menghadapi PRU tanpa sebarang ancaman dan risiko perpecahan,” menurut usul pindaan yang dibacakan Mohamed Khaled pada PAU Khas berkenaan.
Sebelum draf pindaan perlembagaan itu dibacakan, Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyampaikan ucapannya, antara lain menyentuh usaha pindaan itu dibuat sesuai dengan kehendak politik semasa, selain untuk menjadikan UMNO kekal relevan dalam politik sepanjang zaman. – KOSMO! ONLINE.