PETALING JAYA – Penjagaan makanan pada masa ini adalah amat dititikberatkan terutama pada musim perayaan dimana terdapat pelbagai juadah dan hidangan yang dikhuatiri memberi kesan kepada kesihatan.
Pakar Anestesiologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Hana Hadzrami berkata, ini kerana kalori yang diambil berlebihan tanpa digunakan akan bertukar menjadi lemak simpanan dalam tubuh.
“Jika lemak berkumpul di bawah kulit tidak mengapa tetapi selalunya lemak akan berkumpul dalam tubuh dan menyaluti organ yang dipanggil lemak viseral atau lemak perut.
“Lemak ini adalah berbahaya kerana boleh menyebabkan keradangan tisu dan organ tubuh serta menyempitkan salur darah. Ia antara penyumbang utama penyakit diabetes, sakit jantung dan strok,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, Hana turut berkongsi sekeping gambar menunjukkan contoh lemak terbabit dipercayai didermakan untuk pemindahan buah pinggang.
“Ini adalah contoh lemak perut yang menyaluti buah pinggang yang bakal didermakan. Lebih sejam pakar bedah ambil masa asingkan lemak dari buah pinggang.
“Berpeluh sakan pakar bedah nak ‘menggali’ lemak buah pinggang walaupun belum bermula pemindahan lagi. Pemilik buah pinggang tersebut tidaklah segemuk mana dan tubuh setakat berisi. Namun lemaknya banyak berkumpul disekeliling organ tubuh,” jelasnya.
Sehubungan itu, Hana menasihatkan orang ramai dan memberi pesanan kepada semua umat Islam yang berziarah raya agar menjaga pemakanan dan sentiasa beringat.
“Ziarah itu bagus, merapatkan ukhwah dan silaturrahim. Namun sebaiknya jaga juga pemakanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE