fbpx

Sangka jiran bakar sampah rupanya rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memadam api kebakaran sebuah rumah daam kejadian di Kampung Bukit Lintang, Kota Tinggi, malam tadi.

KOTA TINGGI – Tindakan pantas seorang lelaki yang mengetuk pintu rumah jirannya untuk memaklumkan kebakaran yang berlaku berjaya menyelamatkan nyawa dua beranak dalam kejadian kebakaran di Kampung Bukit Lintang malam tadi.

Ramdan Mohamed, 45, berkata, ketika kejadian dia sedang mengambil angin di luar rumahnya sebelum ternampak api dari belakang rumah jirannya itu.

Katanya, pada awalnya dia menyangka api berkenaan adalah api dari jirannya yang membakar sampah namun mula musykil apabila semakin marak.

“Saya memang setiap hari lepas maghrib akan ambil angin di luar rumah. Masa itu memang saya menghadap ke rumah jiran.

“Awalnya saya rasa pelik kerana lampu di rumah saya berkelip-kelip hidup dan mati. Tidak lama itu saya nampak api dari belakang rumah jiran dan sangka api dari sampah kerana jiran memang rajin membakar sampah di belakang rumah.

“Kemudian saya nampak pula api berwarna biru saya dapati memang rumahnya sedang terbakar. Saya terus bergegas ke rumah jiran untuk lihat sama ada orang atau tidak rupanya memang ada orang. Pemilik rumah ketika itu sedang menonton televisyen manakala seorang anaknya yang kepenatan baru pulang dari kerja sedang tidur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, tuan rumah tidak sedar berlaku kebakaran sehinggalah dia datang mengetuk rumah mereka dan memaklumkan kejadian itu.

Tambahnya, jirannya segera mengejut anaknya dan sempat mengeluarkan motosikal di dalam rumah berkenaan sebelum api terus marak dengan cepat ke bahagian lain rumah.

“Tidak lama kemudian pihak bomba sampai untuk memadamkan kebakaran. Ekoran kejadian itu dua beranak berkenaan tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang lain dan tinggal sehelai sepinggang,”katanya lagi.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong Penguasa Bomba Zull Azman Jamaludin berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 8.11 malam.

Katanya, seramai 13 anggota dengan bantuan dari BBP Bandar Penawar dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis sementara kekal berkeluasan 30 x 70 kaki telah musnah 50 peratus daripada keseluruhan bangunan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Operasi berjaya ditamatkan lebih kurang pukul 10.19 malam,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI