PETALING JAYA – “Saya berhasrat untuk menjemput Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai tetamu kehormat (VIP) ketika konsert terakhir saya yang bakal diadakan pada Oktober nanti.”
Demikian impian dan hasrat penyanyi ratu irama Malaysia, Noraniza Idris untuk menjemput penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza sebagai tetamu istimewa ketika menjayakan konsert Malai Solo yang sekali gus bakal menjadi konsert terakhirnya pada Oktober akan datang.
Noraniza atau mesra disapa Kak Ani berhasrat supaya hajatnya untuk menjemput penyanyi nombor satu negara it uke konsertnya yang bakal di adakan di Panggung Sari, Istana Budaya itu nanti akan menjadi kenyataan.
“Saya memang ada hasrat untuk jemput dia (Siti) sebagai tetamu istimewa (VIP) ketika konsert Malai Solo saya nanti. Sebab ini konsert terakhir yang akan saya anjurkan untuk diri sendiri.
“Saya berharap Siti dapat hadir sebagai tetamu istimewa saya nanti,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Rewang dan Showcase Noraniza Idris di Cheras, semalam.
Ujar pelantun Dikir Puteri itu lagi, konsert yang menelan belanja sebanyak RM2.5 juta itu akan berlangsung selama tiga hari melibatkan pelbagai acara seperti festival seni yang akan diadakan di Istana Budaya.
Ketika disoal tentang kata-kata semangat yang ditinggalkan kepada Siti sewaktu penyanyi itu berkongsi video menahan sebak ketika menunaikan umrah baru-baru ini, Noraniza berkata video tersebut turut membuatkan dirinya berasa terharu.
“Saya sebenarnya mahu meninggalkan komen pada akaun TikTok dia. Tapi tidak boleh sebab sudah penuh dengan komen peminat. Tapi saya cari jalan lain supaya dapat meninggalkan kata-kata semangat buat Siti.
“Apabila saya lihat video Siti menangis ketika berada di Mekah baru-baru ini, saya turut berasa terharu. Sebab saya juga pernah melalui perasaan yang sama. Lagi pula Siti sebagai penyanyi nombor satu negara dan tidak ada ‘ruang’ untuk diri sendiri di sini (Malaysia).
“Sehingga kini saya sentiasa mendoakan kejayaan Siti supaya dia dapat mencapai apa yang diinginkan. Alhamdulillah dia sudah berjaya,” kata Noraniza.
Terdahulu, hubungan antara Siti dan Noraniza dikatakan berada dalam suhu kurang baik disebabkan beberapa isu remeh yang ‘dipanaskan’ oleh peminat kedua-dua penyanyi.
Noraniza bagaimanapun bertegas, tidak pernah ada sebarang masalah dengan Siti, bahkan Siti sendiri pernah mengakui sangat menghormati Noraniza Idris sebagai rakan seperjuangan dalam industri. – KOSMO! ONLINE