SUBANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Pangkalan Udara Subang hari ini selepas lawatan kerja selama empat hari dan menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) di Washington.
Ketibaan Ismail Sabri itu disambut oleh kira-kira 200 orang yang terdiri daripada golongan belia dari universiti awam dan swasta sekitar Lembah Klang.
Wakil Persatuan Pelajar yang hadir, Shameerul Abd. Samad berkata, mereka tiba di pangkalan tersebut bagi menyambut ketibaan Perdana Menteri seawal pukul 8 pagi.
“Kami sambut kepulangan Perdana Menteri sebagai seorang ‘hero’ yang memperjuangkan isu Palestin serta memartabatkan bahasa Melayu semasa lawatan kerjanya di AS.
“Kira-kira 200 pelajar dari pelbagai universiti telah tiba seawal pukul 8 pagi bagi menyambut kepulangan beliau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Terdahulu, dalam lawatan kerja itu, perdana menteri menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS dan menemui Presiden AS Joe Biden, Naib Presiden Kamala Harris serta lain-lain pemimpin negara-negara ASEAN.
Presiden Biden turut menganjurkan majlis makan malam bagi meraikan pemimpin negara-negara ASEAN itu di White House kelmarin.
Ismail Sabri turut menghadiri majlis perjumpaan Hari Raya Keluarga Malaysia di sebuah hotel di sini pada hari Rabu (Khamis di Malaysia). – KOSMO! ONLINE