fbpx

Skuad B-23 negara terpaksa pilih jalan sukar di Hanoi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG negara, Hadi Fayyadh dikawal ketat pemain pertahanan Singapura ketika sekadar meraih keputusan seri 2-2 sebentar tadi. - FB FAM

HANOI – Keputusan seri 2-2 ketika bangkit mengikat Singapura dalam aksi ketiga Kumpulan B di temasya Sukan SEA Hanoi sebentar tadi, menyaksikan skuad Bawah 23 (B-23) negara terlepas peluang untuk menempah slot ke separuh akhir lebih awal.

Meskipun anak buah Brad Maloney lebih banyak menguasai bola, namun kegagalan menterjemahkan sekurang-kurangnya lima peluang untuk menjaringkan gol menyaksikan skuad negara terpaksa berpuas hati meraih satu mata.

Babak pertama menyaksikan skuad Harimau Muda tidak perlu menunggu lama untuk memecah kebuntuan gol apabila penyerang sensasi negara Luqman Hakim Shamsuddin berjaya merembat masuk gol pertama seawal minit keempat perlawanan.

Kegembiraan skuad muda negara tidak berpanjangan apabila Singapura hanya memerlukan tiga minit saja untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan Nur Muhammad Shah Shahiran dari luar kotak penalti sekali gus menewaskan Azri Ghani.

Pasukan negara terus dahagakan jaringan apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan dengan peluang keemasan terhidang pada minit 25 menerusi Mukhairi Ajmal Mahadi, namun rembatannya berjaya ditepis penjaga gol lawan sekali gus memberikan kelegaan kepada pasukan Singapura.

Barisan serangan negara terus kempunan menambah gol apabila Luqman yang berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gawang lawan gagal manfaat peluang terhidang apabila sepakannya sedikit tersasar.

Memasuki babak kedua pula menyaksikan Maloney memperkukuhkan jentera serangan dengan membawa masuk Hadi Fayyadh Abdul Razak bagi mencari gol kemenangan.

Namun, lain pula yang terjadi apabila tonggak Singapura Harhys Stewart meletakkan pasukannya didepan pada minit ke-78 selepas menolak masuk gol kedua berpunca keadaan kucar kacir di hadapan kubu Malaysia untuk kedudukan 1-2.

Faiz Amer muncul penyelamat maruah pasukan negara apabila menyumbat gol penyamaan ketika perlawanan berbaki lapan minit sekali gus memberi kelegaan untuk Malaysia meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Keputusan itu, menyaksikan peluang untuk pasukan seperti Thailand dan Kemboja melangkah ke pusingan suku akhir masih terbuka.

Malaysia pula memerlukan kemenangan bertemu Kemboja pada perlawanan terakhir kumpulan B Isnin ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI