HANOI – Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong menggunakan masa kira-kira 20 saat terakhir untuk membuat balingan terbaik pada aksi final di Stadium Nasional My Dinh semalam sebelum berjaya menghadirkan kilauan emas buat negara.
Pada saingan tersebut, Jackie berdepan tentangan sengit daripada pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina (2019) dari Thailand, Kittipong Boonmawan yang mendahului balingan terakhir dengan lontaran sejauh 64.54 meter (m).
Namun, ia tidak mendatangkan masalah buat atlet kelahiran Sarawak tersebut selepas bangkit membuat balingan sejauh 66.49m pada percubaan terakhir itu, sekali gus menjelmakan emas di bumi Hanoi.
Lebih manis, kemenangan itu membantu Jackie kembali meraih pingat emas yang dimenangi ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas dirampas Kittipong di Filipina pada 2019.
Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Sadat Marzuqi Ajisan turut melakukan kejutan apabila berjaya meraih pingat gangsa dengan catatan sejauh 58.86m.
“Memang sedikit gugup kerana perlu mengawal tekanan dalam tempoh satu minit untuk dapatkan semula teknik balingan. Saya perlu bersedia dari segi mental dengan segera untuk membuat balingan terbaik.
“Saya guna tempoh 20 saat terakhir dengan sebaik yang mungkin dan pastinya saya sedikit gementar untuk buat balingan. Hari ini, tuhan membantu saya untuk muncul juara di Hanoi,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi tersebut semalam.
Dalam pada itu, Jackie turut mengakui bahawa segala pengorbanannya berbaloi meskipun pada mulanya dimaklumkan acaranya itu dibatalkan.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak membantu saya sehingga hari ini. Perjalanan saya tidak mudah ke sini kerana saya terpaksa menunggu dua tahun untuk sertai temasya.
“Bukan itu saja, saya juga dijangkiti Covid-19, malah turut dimasukkan ke hospital selama dua bulan selepas terkena tukul besi,” ujarnya.