MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menggesa barisan pemainnya supaya memberi fokus sepenuhnya terhadap aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham United di Stadium London malam ini.
Meskipun masa depannya di kelab itu masih menjadi persoalan, namun beliau berharap ia tidak menjejaskan persiapan pasukan kerana mereka semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan liga.
Guardiola menganggap pertemuan dengan The Hammers sebagai aksi final memandangkan The Citizens semakin hampir untuk menjulang trofi Liga Perdana sekiranya mengutip tiga mata.
“Ia (juara liga) boleh berlaku sekiranya kami menang, tetapi ia pasti berbeza jika dibandingkan dengan gelaran sulung yang dimenangi sebelum ini. Bagaimanapun, ia mungkin sama jika kami jaringkan gol kemenangan pada awal atau penghujung permainan.
“Kami perlukan empat atau enam mata lagi untuk menjadi juara. Semua orang tahu jika kami menang ke atas West Ham, peluang kami semakin cerah dengan mengambil kira faktor perbezaan jaringan gol dan sebagainya,” katanya.
Justeru, bekas pengendali Barcelona itu berharap skuad kendaliannya menampilkan aksi sama seperti ketika membelasah Wolverhampton Wanderers 5-1 walaupun turun beraksi di gelanggang lawan.
“Sudah tentu saya anggap ia sebagai perlawanan akhir, lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan. Saya mahu semua pemain bermain seperti ketika bertemu Wolves kerana ia adalah aksi yang cukup sempurna,” ujar Guardiola. – AGENSI