Oleh NUR ALINA HASSAN
MUAR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke atas dua beranak yang dikhuatiri lemas ketika mencari kepah di Tanjung Emas, di sini semalam diteruskan pada hari ini.
Pegawai Operasi Zon Matitim Batu Pahat, Leftenan Muda Maritim Nor Farhadina Abdul Halim berkata, operasi yang dianggotai oleh 61 individu membabitkan enam buah agensi turut meliputi aset pencarian di udara.
Katanya, sebuah helikopter beserta 18 bot digunakan dalam operasi yang melibatkan keluasan sejauh 22.8 batu nautika.
“Fenomena air pasang besar yang berlaku hari ini dipercayai boleh mengurangkan kesulitan dalam SAR.
“Berpandukan pengalaman lepas, seandainya mangsa masih hidup, mungkin dia akan berpaut pada sesuatu dan ikut faktor pada cuaca serta angin, kemungkinan mangsa akan hanyut di sebelah perairan Timur.
“Bagaimanapun sehingga kini, kami masih belum menemui sebarang petunjuk di laut, justeru tempoh SAR ini akan diteruskan sehingga ke malam dan akan bersambung esok. Kami hanya meletakkan andaian sekiranya mangsa masih hidup, maka pencarian akan diteruskan selama dua hari,” katanya ketika ditemui.
Semalam, mangsa pertama Zainal Jerman, 61 hilang selepas dipercayai terlepas daripada pegangan tali ketika menuruni bot untuk mengutip kepah.
Melihatkan kejadian itu, anaknya, Muhamma Azwan, 25 bergegas menuruni sungai berkenaan sebelum kedua-duanya gagal ditemui hingga kini.- K! ONLINE