fbpx

27 maut dalam kebakaran sebuah bangunan di New Delhi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan sebuah bangunan komersial yang terbakar di New Delhi, India. - IANS

NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 27 maut dan puluhan lagi dilaporkan cedera selepas satu kebakaran berlaku di sebuah bangunan komersial tiga tingkat di barat New Delhi pada petang semalam, lapor laman berita Wion News.

Pengarah bomba New Delhi, Atul Garg mengesahkan bahawa tragedi tersebut berlaku berhampiran stesen metro Mundka. 

Menurut laporan, kira-kira 30 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian termasuk ambulans untuk kerja-kerja menyelamat ketika proses mencari lebih ramai mangsa terkorban diteruskan.

Lebih 40 mangsa melecur pada badan dan telah dimasukkan ke hospital. Dianggarkan kira-kira 60 hingga 70 mangsa berjaya diselamatkan dari bangunan itu, kata polis.

Menurut pegawai bomba, pihaknya dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat mengenai kebakaran pada pukul 4.40 petang (waktu tempatan), lapor agensi berita ANI.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Sameer Sharma berkata, kebakaran bermula dari tingkat satu bangunan itu yang menempatkan pejabat syarikat pengeluar sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan alat penghala. 

Beberapa pemimpin politik memberi ucapan takziah atas insiden yang berlaku.

“Sangat sedih atas kehilangan nyawa akibat kebakaran tragis di New Delhi. Ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Saya doakan mangsa yang cedera agar cepat sembuh,’’ demikian ciapan Perdana Menteri India, Narendra Modi di laman Twitter. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI