NEW DELHI – Krisis kemarau yang melanda kampung Dandichi Bari di negeri Maharashtra, India mengakibatkan golongan wanita terpaksa menolak lamaran perkawinan, lapor akhbar Arab News kelmarin.
Krisis air yang berlaku di kampung itu turut memusnahkan harapan lelaki bujang untuk berkahwin kerana wanita dari kampung lain menolak lamaran mereka.
Penduduk kampung itu bergantung kepada pertanian semasa musim tengkujuh dan beralih kepada kerja kontrak pada musim panas apabila ladang menjadi kering yang berpunca daripada cuaca panas terik.
Oleh yang demikian, wanita dari kampung itu perlu berjalan menuruni bukit ke sumber air berdekatan sebelum matahari terbit dan selepas matahari terbenam untuk membawa bekalan air pulang ke rumah.
“Hidup sangat sukar untuk wanita di kampung ini. Setiap pagi kami keluar pukul 4 pagi (waktu tempatan) dan pulang selepas satu jam setengah dengan membawa periuk berisi air.
“Kami juga melakukan perkara yang sama pada waktu petang,’’ kata seorang penduduk, Mohna Bai Wagmare, 60, kepada Arab News.
Situasi ini menyebabkan perkahwinan dengan orang luar semakin jarang berlaku di kampung itu.
Seorang lelaki bujang, Nitin yang sedang mencari isteri berkata, ia boleh mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk lelaki dari kampung itu mencari pengantin perempuan.
“Kampung ini terkenal dengan krisis air dan ibu bapa dari kampung jiran enggan menghantar anak perempuan mereka berkahwin dengan lelaki di sini,’’ jelas Nitin.
Pada musim kemarau tahun lalu, pihak berkuasa tempatan bertindak menghantar lori tangki berisi air ke kampung tersebut.
Bagaimanapun, mereka berkata bahwa lori itu hanya menyediakan bekalan air yang cukup untuk menghilangkan dahaga, tanpa memenuhi keperluan lain termasuk mencuci. – Agensi