PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon jelita, Farahdhiya menyimpan hasrat untuk membuka sebuah restoran, namun terpaksa ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak 2020.
Farahdhiya berkata, mengikut perancangan awal, dia kini sudah memiliki restoran, namun impiannya itu tidak dapat direalisasikan selepas negara dilanda virus berbahaya tersebut.
“Jika diikutkan perancangan, saya akan membuka sebuah restoran namun terpaksa ditangguhkan seketika disebabkan Covid-19. Saya anggap belum ada rezeki.
“Saya yakin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Bayangkan kalau saya membuka restoran ketika itu dan kemudiannya terpaksa ditutup kerana Covid-19. Mungkin saya terpaksa menanggung kerugian yang lebih besar,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut pemilik nama lengkap Farahdhiya Mohd. Amin, 37, dia menyimpan impian untuk membuka restoran kerana minat yang mendalam dalam bidang masakan.
“Saya suka memasak dan boleh memasak dalam kuantiti yang banyak. Mungkin orang tidak tahu saya ada kebolehan dalam memasak,” katanya.
Farahdhiya bagaimanapun tidak bercadang untuk melunaskan impiannya membuka restoran dalam masa terdekat kerana faktor ekonomi dan harga bahan mentah yang melambung tinggi ketika ini.
“Saya sudah meninjau lokasi (restoran yang akan dibuka) tetapi harga barangan makin mahal. Saya yang selalu ke pasar untuk membeli barang dapur terasa akan perubahan harga bahan mentah.
“Sebelum ini saya dapat membeli barang-barang dapur sehingga penuh satu troli dengan hanya membayar RM300, sekarang RM500 pun tidak cukup jika pergi ke pasar,” jelasnya.
Pada masa sama, pelantun lagu Bertakhta Di Hati itu menyeru masyarakat spaya menjadi pegguna yang bijak dengan membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membuat pembelian.
“Apabila keadaan sudah stabil, harga barang kembali okey, saya akan membuka restoran yang mana semua pelanggan boleh datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE