fbpx

Intan, Harris tak sangka Syawal kedua sudah bertiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INTAN, HARRIS dan anak sulung mereka Evie Khadeeja.

JIKA tahun lalu, sesi fotografi edisi khas Aidilfitri yang diadakan bersama pasangan romantis sama cantik sama padan ini hanya dilakukan berdua.

Maklumlah, pada masa itu mereka baru sahaja mendirikan rumah tangga selepas masing-masing mengenali hati budi dan menyulam cinta.

Berbeza tahun ini, sekali lagi jemputan sesi fotografi edisi lebaran diterima baik Intan atau Harris tanpa banyak berdalih dan berbasa-basi.

Cuma bezanya, tahun ini mereka tidak hanya datang berdua sebagai pasangan suami isteri, tetapi hadir bertiga bersama puteri sulung mereka yang diberi nama Evie Khadeeja.

Sesi fotografi yang memakan masa selama hampir tiga jam tempoh hari berjalan dengan lancar dan baik-baik sahaja walaupun dilakukan pada bulan Ramadan yang sarat dengan dugaan.

Evie yang baru menginjak usia tiga bulan tidak banyak meragam. Biasalah sifat seorang bayi, sekejap tidur kemudian menangis mahukan susu sambil didakap mesra si ibu.

Jauh dari riak wajah pasangan manis itu, masing-masing seakan-akan masih tidak percaya dengan pemberian Yang Maha Kuasa itu.

Foto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH Solekan dan rambut el mandaz uhairy & haziqcutshair
Busana @hijabista.hub dan @qaleesyakid

“Sumpah dan jujur kadang-kadang saya dan Intan rasa masih tak percaya yang kami sudah ada anak. Ya, anak kandung hasil pernikahan kami tempoh hari.

“Rasanya baru semalam saya sarungkan cincin pada jari manis Intan, menikahi dan menyuntingnya sebagai suri hati. Diam-diam sudah ada Evie Khadeeja,” tutur Harris gembira diselangi senyuman penuh manis yang dilemparkan.

Menurut Harris, HibGlam merupakan media arus perdana pertama dan terpantas menjemput keluarga kecilnya bagi dipotretkan dalam satu bingkai kenangan.

LEBARAN kali ini disambut penuh nikmat, syukur dan sederhana oleh pasangan romantis ini.

Paling bermakna

Kata Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi, Syawal yang disambutnya pada tahun ini boleh disifatkan sebagai momen bahagia berganda buatnya dan isteri.

Ujarnya, selain dapat meraikan hari bahagia yang hanya muncul setahun sekali bersama isteri dan anak, dia juga dapat pulang beraya di kampung halaman di Pulau Pinang.

“Kalau sebelum ini, dua tahun kita terperangkap di ibu kota dan tidak dibenarkan pulang ke kampung berkumpul bersama sanak saudara.

“Tetapi tahun ini, kebenaran sudah diberikan. Syukur alhamdulillah, sedikit sebanyak kesengsaraan dan kedukaan kita semua terubat tahun ini.

“Paling seronok tentulah Evie, lahir sahaja sudah dibenarkan pulang ke kampung berjumpa dengan semua yang dirindui. Tak macam kami suami isteri,” katanya.

Berkongsi sedikit mengenai lebaran yang sudah hampir masuk dua minggu menemui kita semua, Harris bersyukur Syawal yang dinanti-nantikan semuanya berjalan dengan lancar.

“Saya dan Intan awal-awal dah rancang memang nak beraya di Pulau Pinang iaitu keluarga sebelah saudara-mara saya andai kebenaran pulang ke kampung diberikan.

“Jadi alhamdulillah hampir seminggu juga kami di sana dan berpeluang bertemu saudara-mara di sana. Itu sahajalah waktu yang benar-benar kami ada untuk bersama dan eratkan silaturahim semula,” katanya.

Beritahu pelantun lagu Permaisuri dan juara Idola Kecil musim ketiga itu, usai berkumpul di Pulau Pinang, dia dan isteri bergegas pulang ke Kuala Lumpur demi tuntutan tugas yang tidak dapat dielakkan.

SEMINGGU meraikan Syawal, Intan dan Harris mula sibuk dengan penggambaran dan kerja-kerja seni seperti yang dijadualkan selain fokus terhadap peranan sebagai ibu bapa.

Fokus, jaga anak

Kalau sudah ada anak, pasti tidur malam tidak seperti dahulu lagi. Itu juga yang dirasai sendiri oleh Intan dan Harris sejak bergelar ibu bapa.

Kata Intan, sejak lahirnya Evie, pola hidupnya dan suami berubah 360 darjah. Siang bagaikan malam dan begitu sebaliknya.

“Ketika kami bujang dahulu dan baru bernikah, tidur malam perkara paling seronok lebih-lebih lagi waktu cuti dan tiada penggambaran atau kerja di luar.

“Sekarang, kami kena lebih banyak korbankan masa untuk anak. Baru kami tahu tak mudah sebenarnya jadi seorang ibu dan bapa. Banyak perkara yang perlu dikorbankan lebih-lebih lagi dari segi waktu.

“Apapun, pengalaman bergelar ibu dan bapa sebenarnya satu fasa yang menyeronokkan. Mungkin tak semua berpeluang merasainya,” katanya.

HARRIS dan Intan menyifatkan kedatangan lebaran kali ini sebagai bahagia berganda lebih-lebih lagi selepas dikurniakan Evie Khadeeja sebagai penyeri hidup.

Ujar Intan yang popular menerusi filem Adnan Semp-It, dia dan Harris kini mahu fokus membesarkan Evie walaupun masing-masing sibuk dengan kerjaya seni.

Ditebak soal perancangan menambah cahaya mata, pasangan romantis itu tidak mengiyakan mahupun menidakkan.

Sebaliknya kata pasangan yang bernikah pada 5 Februari 2021 itu, biarlah puteri sulung mereka besar terlebih dahulu.

“Kita nak kata ya pun tak berani juga. Atau nak kata tidak pun tak boleh. Rezeki itu milik Allah. Kalau Dia nak beri, tetap akan diberi.

“Cuma, kalau bab tambah zuriat, kami tiada masalah dan tidak pernah menolak. Tetapi kalau boleh, biarlah Evie membesar dahulu. Sekurang-kurangnya kami ada pengalaman dan momen membesarkan dia,” kata Harris menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI