PETALING JAYA – Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (USM) (PADU) menggesa agar isu buli dalam kalangan doktor pelatih diselesaikan dengan segera.
Presidennya, Prof. Datuk Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, pihaknya memandang serius isu kejadian buli dalam sektor perkhidmatan kesihatan, terutamanya dalam kalangan doktor pelatih.
Menurut beliau, kes ini mula mendapat perhatian setelah kejadian mengenai kematian seorang doktor pelatih di Pulau Pinang dilaporkan.
“Kes tersebut dikaitkan dengan kesan pembulian yang berlaku terhadap mangsa.
“Namun, kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Dr. Jafri Malin turut menjelaskan sekiranya terdapat mana-mana arahan yang diberikan berkaitan bidang kerja, tetapi tidak diterima oleh doktor pelatih terbabit, ia juga dianggap sebagai buli.
“Tambah lagi, walaupun arahan yang berkaitan dengan kerja, jika dianggap tidak boleh diterima oleh doktor pelatih malah boleh ditafsirkan sebagai dibuli.
“Budaya buli adalah salah dan tidak boleh diterima di mana-mana, terutamanya di hospital,” ujarnya.
Tambahnya lagi, isu buli dalam bidang kesihatan di Malaysia bukanlah suatu perkara baharu, namun kurang diberi perhatian sepenuhnya.
“Sepatutnya aduan yang diterima mengenai kes buli dalam kalangan doktor pelatih perlu diambil perhatian dan siasatan secara holistik harus dijalankan bagi memastikan kesahihan kejadian buli itu.
“Disamping mencari punca kejadian buli dan penyelesaian terbaik untuk membendung masalah ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, PADU meletakkan harapan tinggi kepada pihak petugas atasan agar benar-benar serius dalam merangka garis panduan untuk menyelesaikan masalah buli membuli dalam sektor perkhidmatan kesihatan. – KOSMO!