PETALING JAYA – “Kahwin bukanlah suatu perkara yang boleh dibuat main kerana anda perlu menggalas pelbagai tanggungjawab.”
Demikian antara pesanan yang diberikan seorang wanita menerusi videonya di TikTok mengenai ‘trend’ pasangan muda yang dikatakan seperti terburu-buru ingin berkahwin.
“Jangan menikah sebab tengok kawan-kawan kita dah kahwin dan jangan menikah sebab ikut trend.
“Pastikan keputusan untuk bernikah, berkahwin sebab kau dah sedia sepenuhnya, nak segerakan nikah boleh, tapi jangan tergesa-gesa,” katanya.
Tambah wanita tersebut, pastikan segala keperluan sebelum bernikah telah lengkap sepenuhnya dan jangan jadikan pasangan hidup itu sekadar ‘cukup syarat’.
“Asal ada sahaja, kau sebat, kahwin serkap jarang,” ujarnya.
Dalam pada itu, pesanan wanita tersebut ternyata mendapat persetujuan ramai yang rata-ratanya mempunyai pendapat sama dengannya soal perkahwinan ini.
“Betul itu, jangan terburu-buru kahwin, kalau terikut mulu ‘mak cik bawang’ memang akan main serkap jarang cari pilihan hidup, tak sampai setahun dua kahwin, dah timbul masalah, cerai,” kata seorang pengguna.
“Sekarang ini memang ramai pasangan muda kahwin, tak tahu la apa mereka fikir, memang betul cegah dari maksiat, tapi cukup ka ilmu, duit untuk hidup sebagai keluarga, tak kan masih minta duit ibu bapa tanggung,” kongsi Faizul.
“Memang ramai budak sekarang gelabah nak kahwin, baru umur 20 tahun dah kata tua, semua nak jadi mak bapa muda,” tegur Aishah. – KOSMO! ONLINE