fbpx

Jaja petai, buah-buahan untuk cari duit belanja masuk universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Izzat menyusun buah petai dalam kereta untuk dijaja di sekitar kawasan Gua Musang.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seorang pemuda dari Kampung Limau Kasturi di sini gigih mencari wang untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah dengan membantu ibunya menjaja petai dan buah-buahan tempatan.

Muhammad Izzat Azra Ibrahim, 22, tidak mahu bergantung kepada kedua ibu bapa bagi menampung perbelanjaan pengajiannya di peringkat Ijazah.

Menurut Muhammad Izzat Azra, dia baru sahaja tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang dalam jurusan Diploma Perbankan dan bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah tahun depan.

Katanya, dia menyedari ibunya, Zubaidah Yusoff, 47, dan bapa, Ibrahim Ismail, 57, mempunyai tanggungan besar bagi menampung perbelanjaan sembilan lagi adiknya yang masih bersekolah.

“Ketika saya ingin menyambung pelajaran peringkat diploma dahulu, ibu bapa saya terpaksa menjual seekor kambing dengan harga RM2,500.

“Bagi pengajian peringkat ijazah ini, saya tidak mahu lagi menyusahkan mereka berdua dan sanggup menjaja petai bersama mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Muhammad Izzat Azra, adiknya Muhammad Izzat Amran, 21, turut menjaja petai tahun lalu mencari wang belanja untuk masuk Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Katanya, ekoran kesusahan hidup, mereka adik-beradik diajar hidup berdikari oleh kedua ibu bapanya.

“Saya berharap dapat mengumpul wang secukupnya sebagai persediaan ke universiti tahun hadapan.

“Saya ingin menyambung pengajian dalam bidang perbankan kerana bercita-cita mahu menjadi pegawai bank. Selepas tamat belajar saya akan bekerja dan berhasrat membantu keluarga,” katanya.

Sementara itu, Zubaidah memuji sikap semua anaknya yang rajin membantunya menjaja petai dan hasil pertanian lain.

Katanya, dia mengakui tidak mampu menampung perbelanjaan kesemua 10 orang anaknya yang masih bersekolah dan menyambung pelajaran ke peringkat universiti.

“Saya bersama suami sudah lama menjaja petai dan barang pertanian lain yang dibeli daripada penduduk kampung untuk dijual di bandar Gua Musang.

“Bagaimanapun, pendapatan jualan itu tidaklah banyak dan hanya untuk menampung makan dan minum keluarga sahaja,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI