SHAH ALAM – Kes demam denggi di Selangor mencatatkan peningkatan 70 peratus iaitu sebanyak 9,357 kes dilaporkan setakat ini.
Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan negeri, jumlah itu meningkat 3,854 kes berbanding minggu epid (ME) sama pada tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, sebanyak 470 kes denggi dilaporkan pada ME 18 sepanjang tempoh tempoh seminggu bermula 1 hingga 7 Mei lalu.
“Jumlah itu mencatatkan penurunan 28.4 peratus berbanding 656 kes pada minggu sebelumnya.
“Kes denggi yang dilaporkan sehingga kini bagaimanapun meningkat sebanyak 70 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, lima daerah mencatatkan kes tertinggi adalah Petaling iaitu 3,481 kes, Klang (3,197), Hulu Langat (2,008), Gombak (937) dan Sepang (228). -KOSMO!ONLINE