PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan Protokol Operasi Pub dan Kelab Malam Berlesen yang akan mula berkuatkuasa pada Sabtu ini.
KPKT menerusi satu kenyataan hari ini berkata, protokol itu dikeluarkan susulan pengumuman kerajaan pada 27 April lalu berhubung senarai negatif yang telah dibenarkan kembali beroperasi bermula 15 Mei ini.
“Untuk makluman, Operasi Pub dan Kelab Malam Berlesen yang dikategorikan dalam senarai negatif ini telah dihentikan operasi selama hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.
“Berdasarkan kepada pengumuman daripada kerajaan itu, ia turut memberikan isyarat kepada industri-industri ini untuk turut mula beroperasi semula,” katanya.
Katanya, protokol itu dikeluarkan setelah mendapat pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sekali gus sebagai rujukan kepada semua pemain industri berkaitan.
Berdasarkan protokol itu, waktu beroperasi bagi pub dan kelab malam akan ditentukan mengikut syarat lesen dan permit oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Malah, protokol itu turut membenarkan kapasiti premis ditetapkan pada had 100 peratus termasuk ruang tari.
Selain itu, pemilik premis perlu memastikan pekerja dan pelanggan diwajibkan berdaftar dengan MySejahtera dan membuka fungsi MySJ Trace apabila memasuki premis.
Sementara itu, hanya pekerja dan pelanggan dengan status MySejahtera ‘Risiko Rendah’ sahaja dibenarkan masuk ke premis.
Pelanggan juga perlu menjalani Ujian RTK-Ag Kendiri Covid-19 dengan penyeliaan Pengamal Perubatan Berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sama ada secara fizikal ataupun secara maya dalam tempoh 24 jam sebelum masuk ke premis.
Apa yang penting, pemilik premis perlu memastikan pelanggan sentiasa memakai pelitup muka semasa berada di dalam premis kecuali semasa aktiviti makan, minum dan menari.
Dari segi pengudaraan pula, premis juga perlu mempunyai pengudaraan dan sistem ventilasi baik mengikut Garis Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). – KOSMO! ONLINE