KOTA BHARU – Pampasan kepada lebih 1,000 jemaah umrah yang terjejas ekoran penangguhan sementara ibadah itu bermula 8 Januari lalu akibat penularan varian Omicron Covid-19 telah selesai dibayar pada Mac lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pembayaran pampasan kepada kumpulan jemaah itu diuruskan sepenuhnya oleh Tabung Haji (TH).
“Syarat yang dikenakan antaranya pihak berkenaan perlu mengemukakan resit yang mereka telah bayar termasuk segala perbelanjaan yang berbukti namun telah hangus disebabkan penangguhan umrah.
“Alhamdulillah, pampasan kepada mereka yang terlibat telah selesai diberikan pada Mac lalu. Kita berharap ia dapat meringankan beban mereka yang terpaksa menanggung kerugian akibat penangguhan umrah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan sedia membayar saguhati kepada jemaah terbabit sebanyak RM1,671 seorang ekoran penangguhan sementara ibadah itu bermula 8 Januari lalu selepas penularan varian Omicron dalam kalangan jemaah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pembayaran saguhati akan dikreditkan menggunakan akaun simpanan TH jemaah umrah bermula pada 18 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE