fbpx

Lima rentung angkara treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beginilah keadaan kereta Honda City yang dirempuh sebuah treler muatan pagar besi KM245.2 di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Kuala Kangsar tengah malam semalam. – MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

KUALA KANGSAR – Sungguh tragis apabila lima sahabat akrab yang juga pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas terlibat dalam kemalangan ngeri berhampiran Terowong Menora di sini tengah malam semalam.

Kemalangan yang berlaku di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Uta­ra-Selatan arah utara di sini itu melibatkan kereta jenis Honda City yang dinaiki kesemua mang­sa dengan dua buah treler muatan pagar besi dan mozek.

Lima sahabat yang terkorban itu dikenali sebagai Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika kejadian, sebuah treler muatan mozek yang dipandu lelaki berusia 37 tahun itu sedang berada di lorong kanan dengan kereta mangsa pula mengekori di belakangnya.

Menurutnya, kedua-dua ken­deraan itu memandu di lorong kanan lebuh raya disebabkan lorong kiri telah ditutup untuk penyelenggaraan jalan dari Kilometer 246 hingga 244.4.

“Semasa melalui kawasan itu, treler dan kereta itu dipercayai memperlahankan kenderaan mereka sebelum sebuah treler muatan pagar besi yang datang dari arah belakang tidak sempat membrek lalu merempuh belakang Honda City terbabit.

“Rempuhan itu menyebabkan treler muatan pagar besi itu menyeret kereta mangsa ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler muatan mozek,” katanya ketika dihubu­ngi semalam.

Mior Faridalathrash memberitahu, akibat kemalangan itu, kereta yang dipandu mangsa berusia 22 tahun terbakar sebelum merebak ke bahagian kepala treler muatan pagar besi.

Katanya, pemandu kereta bersama empat penumpang telah tersepit dan mereka tidak sempat menyelamatkan diri.

“Kesemua mangsa yang ren­tung disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Dalam kejadian itu, kedua-dua pemandu tre­ler berusia 28 dan 37 tahun tidak mengalami kecederaan,” ujarnya.

Menurutnya, siasatan mendapati, pemandu treler muatan pagar besi terbabit pernah memiliki 22 saman atas pelbagai kesalahan trafik termasuk lapan kes membabitkan kesalahan pandu laju.

Ujarnya, semakan mendapati, suspek yang berusia 28 tahun dan berasal dari Jitra itu mempunyai 22 saman yang direkodkan sejak tahun 2008 hingga 2022.

Bagaimanapun, kesemua saman berkenaan telah dijelaskan.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek juga negatif daripada pengambilan sebarang jenis dadah,” katanya.

Mior Faridalathrash membe­ritahu, suspek direman selama empat hari mulai semalam sehingga Ahad ini setelah perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar.

Katanya, tahanan reman itu adalah untuk siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pukul 12.52 tengah malam.

Katanya, setibanya di lokasi, kebakaran melibatkan kereta yang dinaiki mangsa dengan sebuah treler membawa muatan pagar besi.

“Kereta dinaiki mangsa dan treler 20 tan itu masing-masing terbakar 90 peratus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI