fbpx

Malaysia langkah kanan di Sukan SEA Vietnam 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONTINJEN Malaysia hadir pada Majlis Mengalu-alukan Kehadiran negara-negara yang bersaing pada Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi semalam. – VNA PHOTO

HANOI – Meskipun pada mulanya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam diancam akan dibatalkan gara-gara terkesan dengan pandemik Covid-19, namun tuan rumah memastikan temasya sukan dwitahunan Asia Tengara itu diadakan secara gilang-gemilang pada majlis perasmian di Stadium Nasional My Dinh malam tadi.

Kira-kira 10,000 atlet dan pegawai negara-negara Asia Tenggara hadir memeriahkan majlis peras­mian Sukan SEA Vietnam 2021 yang menawarkan 40 jenis sukan dengan 523 acara dipertandingkan bermula 12 hingga 23 Mei ini.

Namun, sebelum majlis perasmian berlangsung, kontinjen Malaysia yang membuka gelanggang di Hanoi sudah menampilkan semangat luar biasa apabila menggondol emas pertama Sukan SEA Vietnam 2021 menerusi terjunan emas oleh penerjun sensasi negara, Nur Dhabitah Sabri.

Sejak emas pertama itu, Malaysia tidak menoleh ke belakang apabila menyapu bersih lapan pingat emas di Pusat Akuatik My Dinh, manakala satu lagi pingat emas disumbangkan oleh gan­dingan pesilat negara, Mohd. Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga dalam acara ganda putra (tempur) di Pusat Sukan Bac Tu Liem.

Pingat emas pertama negara diraih Nur Dhabitah adalah dalam acara terjun 1 meter (m) papan anjal individu wanita. Kecemerlangannya disusuli pasangan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang yang menghadiahkan emas ke­dua selepas mengungguli acara 3m papan anjal seirama lelaki.

Lebih manis Tze Liang turut memenangi emas dalam acara 1m papan anjal individu lelaki, sekali gus menambah koleksi kilauan emas yang ke-13 peribadi sejak menyertai Sukan SEA edisi Myanmar 2013.

Gandingan dua penerjun elit, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri pula menepati ramalan mengungguli acara 10m platform seirama wanita, sekali gus menutup emas terakhir negara mampu menjadi pembakar semangat kepada 584 atlet negara di bumi Hanoi.

Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad mengakui, aksi cemerlang skuad terjun negara mampu menjadi pemang­kin semangat buat barisan altet kebangsaan lain dalam mengharungi cabaran getir di Hanoi, sekali gus berusaha mencapai sasaran 36 pingat emas yang ditetapkan.

“Skuad terjun telah membuktikan kemampuan mereka dan pada hari pertama, kontinjen negara meraih dua pingat emas dan diteruskan menerusi atlet lain.

“Ini adalah satu temasya di mana sebelum pembukaan rasmi, kita sudah mampu mendahului kedudukan teratas carta ke­seluruhan pingat.

“Secara tidak langsung ia memberikan semangat dan peluang kepada atlet lain yang sudah mahupun baru sahaja tiba memastikan setiap hari kita mempunyai pingat emas walaupun satu atau dua emas supaya sasaran 36 emas itu tercapai.

“Kita berada di landasan tepat dan ini satu permulaan baik. Walaupun persiapan atlet tidak begitu kemas atau tidak panjang, namun mentaliti mereka itu sendiri tampak bersungguh-sungguh.

“Ia secara tidak langsung memberi keyakinan bahawa atlet yang terpilih itu adalah yang terbaik dan setiap atlet mempunyai semangat begitu tinggi sejak mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga tiba di bumi Hanoi,” kata Nur Azmi.

Kontinjen negara dijadualkan menyertai 37 acara daripada 40 jenis sukan yang dipertandingkan dengan ‘lubuk’ utama me­nuai emas adalah dalam sukan terjun dan olahraga, manakala bonus jika kilauan emas mampu dituai menerusi taekwondo, wusyu, petanque, silat dan bina badan.

Pada penyertaan di Filipina tiga tahun lalu, kontinjen negara meraih 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa untuk berada di tangga kelima keseluruhan, manakala tuan rumah muncul juara keseluruhan, 149 emas, 117 perak dan 121 gangsa.

Vietnam pada ketika itu berada di tangga kedua keseluruhan dengan 98 emas, 85 perak dan 105 gangsa, manakala Thailand di tangga ketiga, 92 emas, 103 perak dan 123 gangsa. Indonesia berada di tangga keempat, 72 emas, 84 perak dan 111 gangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI