fbpx

Awesome TV siar debat bersejarah Najib-Anwar malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DEBAT Perdana Najib-Anwar turut disiarkan secara langsung di Awesome TV pukul 9 malam ini.

PETALING JAYA – Saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air), Awesome TV akan membawakan siaran langsung program istimewa Debat Perdana yang menampilkan dua figura berpengaruh dalam arena politik tanah air, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi saluran Astro 123 dan MyTV 112 pukul 9 malam ini.

Program debat bersejarah antara bekas Perdana Menteri dan Presiden PKR yang juga merupakan Ketua Pembangkang itu diadakan di Auditorium, Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC).

Malam ini, Najib dan Anwar akan berkongsi gelanggang buat pertama kali dalam sesi debat awam untuk merungkai polemik yang melanda Sapura Energy Berhad (SEB) serta mengupas pelbagai isu panas berkaitan hala tuju negara daripada aspek ekonomi, politik dan urus tadbir.

Cabaran sesi debat malam ini tercetus selepas Najib dan Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung isu kewajaran menyelamatkan (bailout) Sapura Energy Berhad (SEB).

Ketua Pegawai Eksklusif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, pihaknya berbesar hati diberi ‘mandat’ penyiaran program yang ditunggu-tunggu ramai berkenaan.

“Kami di Awesome TV berasa teruja diberi peluang untuk menyiarkan Debat Perdana eksklusif di antara dua figura terbabit secara langsung di platform kami pada malam ini.

“Sebagai sebuah stesen penyiaran baharu, ia merupakan sebuah penghormatan kepada kami untuk menjadi sebahagian dari peristiwa bersejarah ini serta turut sama diberi ruang untuk meraikan semangat politik negara yang dilihat lebih matang dan terbuka ini.

“Kami merasakan program debat secara terbuka yang julung kali diadakan seumpama ini mampu memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dan meraikan pandangan dalam suasana yang aman dan harmoni,” katanya.

Sebelum ini, saluran televisyen Astro Awani, Facebook Sinar Harian, Malaysia Gazzette dan Sin Chew Daily diumumkan sebagai penyiar Debat Perdana berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI