KECOH dalam kalangan peminat K-Drama selepas khabar angin mengenai pelakon cantik Ha Yeon-soo dikhabarkan bakal meninggalkan dunia hiburan tidak lama lagi.
Spekulasi tersebut semakin bertiup kencang, lebih-lebih lagi kontraknya bersama Andmark telah pun tamat sekitar Januari lalu.
Terus menerus terpalit dengan persoalan peminat, Yeon-soo menerusi agensinya memberitahu, dia masih aktif dalam dunia lakonan sekali gus meleraikan kekusutan ramai.
“Ha Yeon-soo tidak bersara. Dia masih sebagai pelakon cuma kini sibuk melanjutkan pelajarannya di Jepun.
“Berkenaan butiran peribadi yang dikatakan hilang daripada laman rasmi agensi, perkara tersebut merupakan permintaan Yeon-soo sendiri,” tulis mereka ringkas.
Meninjau ruangan Instagram Yeon-soo, dia turut berkongsi beberapa foto dan kehidupan sehariannya berada di Jepun.
Untuk rekod, pelakon tersebut sangat bergiat aktif sejak kali pertama debutnya dalam industri hiburan sebagai pelakon selain turut memiliki perniagaan kosmetik jenama sendiri.