Baru-baru ini ada seorang doktor pakar menulis di akaun Twitternya mengenai pihak yang mensensasikan isu berkenaan doktor pelatih yang didakwa tertekan dan dibuli.
Khabarnya doktor-doktor pelatih berkenaan tertekan dari segi waktu kerja yang dikatakan ‘tidak masuk akal’.
Teruk juga doktor berkenaan dikecam secara berjemaah di media sosial oleh netizen yang membuta tuli tanpa memahami situasi sebenar.
Namun, apa yang penulis ingin suarakan ialah perkara yang diperkatakan doktor pakar itu ada kebenaranya.
Kata doktor pakar itu, apa kerja yang zero tekanan, isu tekanan yang berlaku kepada doktor pelatih itu hanya menimbulkan lebih banyak ‘rasa marah’ terhadap profesion kedoktoran.
“Sensasikan isu tidak selesaikan masalah,” jelasnya.
Itulah yang berlaku di Twitter, macam-macam kata nista pihak tidak puas hati terhadap bebenang doktor pakar berkenaan.
Seorang lagi doktor di sebuah hospital bersuara isu yang sama di Instagram dan mendapat reaksi pelbagai daripada netizen.
Doktor berkenaan berkongsi pengalamannya ketika menjadi doktor pelatih.
“Waktu jadi houseman saya pernah kena sumpah seranah oleh doktor berpangkat Datuk, dia kata saya bodoh, tidak layak jadi doktor, baik terjun bangunan dan macam-macam lagi,” jelasnya.
Banyak dicoretkan oleh doktor berkenaan secara sinis dan penulis setuju dengan apa yang diperkatakannya.
“Jika jadi doktor pelatih tidak mahu kena marah atau kena buli, pastikan ilmu penuh di dada, sebagai doktor jika saya buat silap, nyawa orang boleh melayang,” tulisnya.
Sebenarnya, isu doktor dikatakan ‘manja’ oleh netizen itu bukan berlaku dalam profesion itu sahaja, malah pelbagai bidang pekerjaan lain juga ketika ini.
Pekerja baru atau pekerja pelatih memang ‘manja’ sekarang ini, tidak boleh balik lambat sikit, balik kena tepat masa dan datang kerja lewat pula serta tidak pandai uruskan waktu.
Itulah realiti yang terpaksa dihadapi majikan, mempunyai pekerja yang terlalu berkira walaupun ilmu di dada tidak seberapa.
Tiada lagi cara bekerja seperti masa dahulu awal-awal penulis habis belajar, kebal kena maki, tidak berkira dengan masa, ilmu itu yang membuat kita menjadi diri kita sekarang.