PYONGYANG – Korea Utara mengesahkan kes pertama Covid-19 di negara itu, dan disusuli dengan pengisytiharan ‘darurat serius’ oleh Pemimpin Tertingginya, Kim Jong-un yang mengarahkan perintah berkurung dilaksanakan.
Negara itu sebelum ini tidak pernah mengakui terdapat sebarang kes Covid-19. Pyongyang turut melaksanakan sekatan sempadan yang ketat di semua pintu sempadannya sejak permulaan pandemik pada 2020.
Bagaimanapun, beberapa sampel yang diambil daripada pesakit yang demam di Pyongyang dilaporkan menyamai dengan varian Omicron BA.2, demikian menurut agensi berita Korean Central News Agency (KCNA).
Susulan penemuan itu, Jong-un dan pegawai-pegawai tertingginya mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan mengenai perkembangan terbaharu itu dan mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan ‘sistem pencegahan wabak kecemasan maksimum’.
“Jong-un mengarahkan semua bandar dan daerah di seluruh negara agar melaksanakan perintah berkurung.
“Beliau turut berkata bahawa tujuan mesyuarat itu diadakan adalah untuk menyembuhkan jangkitan dan menghapuskan punca penyebaran virus,” kata KCNA.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai jenis sekatan yang akan dilaksanakan belum dikeluarkan. Angka jangkitan juga tidak dinyatakan dalam laporan tersebut.
Pakar-pakar percaya bahawa Korea Utara tidak pernah memberi vaksinasi kepada penduduknya yang berjumlah 25 juta orang.
Negara itu juga telah menolak program vaksinasi yang ditawarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), China dan Rusia. – AFP